'Pengalaman Dalam UMNO Matangkan Saya ' - Anwar




SHAH ALAM 14 MEI : Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan beliau tidak pernah menyesal menyertai UMNO hampir 30 tahun lalu dan menyifatkan ianya merupakan pengalaman paling berharga dalam karier poltiknya.

Menurut Anwar, pengalaman yang berharga itu berjaya mematangkan dirinya disamping hubungan baik beliau bersama teman- teman dan golongan ulama masih kekal baik.
“Alhamdulillah saya bersyukur, kerana pengalaman saya dalam kerajaan cukup berharga. Walaupun ada sebahagian teman-teman tidak bersetuju, saya tidak kesali keputusan saya menyertai Umno. Saya kesali mungkin ada hal-hal yang patut saya buat lebih baik dari dahulu. Ya, itu ada,” katanya dalam Forum pengkisahan Sejarah Angkatan Belia Islam Malaysia, ABIM.

Anwar menyertai UMNO pada tahun 1982 yang ketika itu di bawah kepimpinan Mantan Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad.

Beliau menambah, pengundurannya daripada Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia, PKPIM dan ABIM adalah untuk memberi peluang kepada ganerasi baru ketika itu dan menegaskan tidak pernah meninggalkan ABIM sebaliknya hanya melepaskan jawatan dalam ABIM.

“Bukan meninggalkan, meninggalkan jawatan ABIM. Jangan salah faham istilah. Saya merasakan sudah lama sumbangan saya dan cukup untuk meberikan ruang kepada yang lain,” katanya.

Anwar mengakui kagum dengan ketokohan yang ditonjolkan oleh bekas Timbalan Presiden ABIM, Allahyarham Datuk Fadzil Noor dan turut mengimbau kata-kata kebimbangan yang diucapkan kepadanya dalam satu pertemuan panjang.

“Ya, ana (saya) doakan sebaiknya kerana ana (saya) tidak pernah pertikai niat anta (awak) dan keupayaan Anwar. Cuma ana (saya) bimbang satu perkara, mereka akan khianati anta (awak),” katanya.

Ungkapan ‘Khianat’ diucapkan sebanyak tiga kali sebagai tanda kebimbangan Almarhum Ustaz Fadzil Noor terhadap Anwar, bermula pada tahun 1982, ketika Anwar meninggalkan Pemuda UMNO untuk bertanding jawatan Naib Presiden Umno pada 1987 dan sebelum beliau dipecat daripada kerajaan pada 1998.
Turut berucap dalam forum ini ialah dua mantan Presiden ABIM, Prof. Razali Nawawi dan Dr. Siddiq Fadzil.

Prof. Razali Nawawi melahirkan rasa terkilan terhadap pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab yang tidak faham dengan perjuangan ABIM sehingga sanggup melebelkan mereka sebagai ekstrim dan untuk mencetuskan huru-hara dalam negara.

“Saya nak beritahu ABIM ada dalam kerajaan sejak dahulu lagi sehingga sekarang. Boleh semak mereka-mereka yang berada dalam kerajaan sekarang. Siasat adakah mereka-mereka yang bersama ABIM cuba untuk mensabotaj dasar kerajaan,” katanya.

Menurut Dr. Siddiq Fadzil, walaupun mereka tidak mendokong mana-mana parti politik, seluruh warga ABIM turut merasakan kesedihan yang dihadapi oleh Anwar dan keluarga apabila diaibkan setiap hari tanpa pengecualian.

“Apabila maruah beliau dicemarkan dan diaibkan dengan melampau, maka seluruh warga ABIM merasakan kesedihannya kerana ia melibatkan semua maruah gerakan Islam yang disertai,” katanya.

Forum pengkisahan Sejarah Angkatan Belia Islam Malaysia, ABIM diadakan di Universiti Selangor (UNISEL) Shah Alam dihadiri oleh aktivis-aktivis yang masih bersama dengan perjuangan ABIM.

Turut diundang Ulama Besar Syiria, Sheikh Prof Dr. Wahbah Al Zuhaily.

No comments: