Mahasiswa Lancar Kempen 'Jom Baca Media Alternatif'

KUALA LUMPUR 7 OGOS : Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) hari ini melancarkan kempen ‘Jom Baca media Alternatif di Dewan Perhimpunan Cina Selangor dan Kuala Lumpur (KLSCAH) bermula jam 2 petang tadi.

Sekretariat Media SMM, Ahmad Shukri Kamarudin berkata, kempen itu dibuat menjurus ke arah untuk menjadikan media alternatif sebagai sumber maklumat utama kepada rakyat di negara ini.

Selain itu katanya, ia bertujuan mendidik rakyat untuk mengutamakan kesahihan berita, mendedahkan mereka kepada persepsi yang lebih terbuka, dan memberi peluang kepada rakyat melihat realiti Malaysia berdasarkan dimensi yang berbeza.

Semalam, SMM telah menganjurkan Flash Mob sekitar Kuala Lumpur untuk mempromosikan kempen itu.

Menurut Ahmad Shukri, peserta yang terlibat telah memakai baju khas yang tertera alamat laman sesawang media altetnatif di Malaysia, sambil melakukan edaran risalah dan buah tangan kepada warga kota.

Pelancaran kempen ‘Jom Baca Media Alternatif’ diadakan pada hari ini dengan siri wacana ‘Mahasiswa Selamatkan Rakyat’ yang akan memfokuskan kepada isu pembinaan loji nadir bumi Lynas.

Tambah Ahmad Shukri, Sasterawan Negara, Datuk A Samad turut diberi penghormatan pada majlis tersebut sekali gus ikon perjuangan rakyat untuk melancarkan program itu.

SMM terdiri dari beberapa pertubuhan mahasiswa. Antaranya Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS), Pertubuhan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM), Kelab Rakan Islah Malaysia (KARISMA), Pro Mahasiswa Nasional (PRO M), Kumpulan Anak Muda Independen (KAMI) & Malaysian Student & Youth Democratic Movement (DEMA).