Dunia selepas pandemik Covid 19 semakin tidak menentu dan bersimpang siur.
Sesetengah ilmu pengetahuan yang dipelajari pada dekad lalu tidak lagi memberi jawaban kepada kejadian semasa dan anak muda tersepit di tengah tengah perubahan tantanan order baharu, atau tempoh peralihan dari revolusi industri kepada revolusi digital pada waktu ini.
Bagi Ahli Parlimen Petaling Jaya, Lee Chean Chung, dunia pasca moden yang dihadapi anak muda hari ini mungkin tidak segawat tempoh peralihan generasi 1970 - 1980an lalu dengan perang Vietnam, perubahan ekonomi, sosial dan hiburan namun anak muda Malaysia, katanya perlu mengisi perubahan itu dengan tekad dan suara yang lantang.
"Di sini bagi saya Malaysia telah berada di satu tahap abad ke 21. Kita ada masyarakat yang moden. Kita sedang bersaing dengan negara serantau dan di luar rantau ini.
"Kita ada kuasa besar yang bersaing dan juga negara yang terjerumus dalam peperangan. Sekarang zaman post normal. Apa yang kita anggap betul, yang diajarkan guru kita, telah berubah.
"Dalam dunia ketidaktentuan ini, kita perlukan kepimpinan yang mantap. Kepimpinan itu datang daripada generasi muda. Barulah ia dapat melakar masa depan lebih baik untuk Malaysia.
"Malaysia hari ini bukan hanya Semenanjung, kita ada rakan Sabah dan Sarawak. Kita ada Orang Asli, kemiskinan bandar, kehidupan mencabar dan rakyat tidak yakin dengan masa depan negara.
"Tanpa perpaduan, hala tuju jelas dari rakyat Malaysia mewakili sebuah negara, kita akan hilang daya saing," katanya sebagai pemidato pembuka Kongres Suara Anak Muda anjuran Angkatan Muda Keadilan Malaysia di Petaling Jaya, petang tadi.
Chean Chung yang aktif membawa luahan anak muda terpinggir atau rentan ke Dewan Rakyat dan kepada Menteri Kerajaan Perpaduan mahu anak muda negara ini memikirkan mengenai kerangka besar cabaran yang dihadapi generasi akan datang.
Katanya, anak muda tidak boleh lagi terperangkap dengan permainan politikus 'dinasour' yang kekal dengan ideologi lama 'pecah dan perintah' serta hantu perkauman untuk meraih populariti yang kemudiannya membinasakan keharmonian kaum.
"Mereka mainkan isu politik sempit, isu agama sempit semata mata untuk kekal berkuasa. Untuk kekal relevan dalam politik.
"Saya maklumkan di sini yang lepas adalah lepas, tetapi kita masih lagi terdengar di TikTok kerana arus perdana masyarakat kita masih terikut ikut. Masih ada sebahagian besar rakyat yang terpengaruh dengan naratif lama.
"Masih ada media yang suka mengutip berita sebegini supaya media dilihat kekal relevan
"Dalam kerangka ini, saya juga salahkan anak muda kerana suara anak muda tidak cukup kuat untuk melawan suara suara orang tua. Maka sebab itulah hal negatif, isu lama diapi apikan," katanya lagi.
Justeru, Chean Chung berharap pentas Suara Anak Muda boleh mengetengahkan apa sahaja keresahan juga permasalahan anak muda untuk dibawa ke pengetahuan kerajaan semasa dan diusahakan jalan penyelesaiannya bagi memudahkan perjalanan hidup anak anak muda Malaysia.