Perolehan Peluru Berpandu BrahMos Perkukuh Keupayaan Strategik Pertahanan Negara

 


Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika ditemu bual dengan stesen NDTV India pada 12 September 2026.

NEW DELHI, 14 Sep – Kemungkinan Malaysia untuk memperoleh sistem peluru berpandu udara ke permukaan BrahMos India, disifatkan satu perkembangan baik bagi memperkukuhkan sistem pertahanan negara bagi jangka masa sederhana.

Menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, walaupun tiada keputusan muktamad setakat ini, namun opsyen pertahanan demikian amat baik dalam memastikan keupayaan pertahanan negara berada dalam keadaan siap siaga.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bertemu Perdana Menteri India, Naredra Modi di Hyderabad House, New Delhi pada 12 September 2026.

Dalam satu temu bual dengan stesen NDTV India, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, perbincangan mengenai perkara itu dibuat semasa mesyuarat dua hala dengan rakan sejawatnya dari India, Narendra Modi, namun pihak yang berhak membuat keputusan adalah Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

“(Kami) telah berbincang, namun lazimnya kedudukan saya adalah melibatkan jabatan atau agensi yang berkenaan, mereka yang mempunyai kepakaran dalam tentera udara, mereka sepatutnya meneruskan perbincangan.

“Mereka telah mengadakan perbincangan awal dan saya memberitahu Perdana Menteri Modi yang saya sangat menyokong kerana hubungan ini dibina atas kepercayaan dan kami ingin mengukuhkannya dalam semua bidang,” katanya sambil mengakui keupayaan pertahanan India.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bertemu Perdana Menteri India, Naredra Modi di Hyderabad House, New Delhi pada 12 September 2026. Foto PMO

Perbincangan itu menjurus kepada mengupayakan kemampuan aset pertahanan negara memandangkan kawasan luas perlu diberi kawalan dan pemantauan pasukan keselamatan dalam melindungi kepentingan negara.

BrahMos adalah peluru berpandu krus supersonik berkuasa ramjet jarak jauh yang boleh dilancarkan dari kapal selam, kapal, pesawat pejuang atau pelancar mudah alih (TEL).




No comments: