SK Pulau Sepanggar ‘dimakan laut’, keselamatan murid terjejas


KOTA KINABALU, 7 JUN: Keselamatan murid Sekolah Kebangsaan Pulau Sepanggar di sini dalam bahaya apabila blok yang menempatkan tiga bilik darjah mereka berisiko ‘dimakan laut’ kerana struktur tanah yang menampung bangunan berkenaan mengalami hakisan pantai.
Murid SK Sepanggar menuju ke sekolah dari jeti.
Apa yang mengecewakan, meskipun perkara ini didedahkan pihak sekolah sejak Februari lalu, lawatan Roketkini mendapati keadaan sekolah itu masih belum diambil tindakan susulan.
Sewaktu tinjauan dijalankan, blok bilik darjah satu tingkat menempatkan pelajar darjah lima dan enam itu masih digunakan seperti biasa.
Selain bilik darjah, turut terancam hakisan ialah binaan yang menempatkan sistem solar hybrid bernilai hampir setengah juta ringgit bagi tujuan penjanaan tenaga elektrik yang terletak hanya bersebelahan dengan blok bilik darjah itu.
Apa yang turut menjadi persoalan, ke mana perginya peruntukan Kementerian Kewangan sebanyak RM500 juta bagi kerja-kerja penambahbaikan dan penyelenggaraan seperti yang diumum dalam laporan Belanjawan 2017?
Sistem solar hybrid turut diancam hakisan.
Salah seorang penduduk Pulau Sepanggar yang mahu identitinya dirahsiakan melahirkan rasa hairan mengapa sekolah tersebut masih belum dibaiki sedangkan hakisan yang berlaku semakin ketara.
“Saya berasa sedih juga kenapa sekolah ini masih belum dibaiki. Kita tidak mahulah jadi apa-apa yang tidak elok,” katanya.
Penasihat DAP Sabah, Jimmy Wong Sze Phin yang turut melakukan lawatannya ke pulau itu sebelum ini telah mengetengahkan beberapa cadangan berhubung kebajikan dan keselamatan murid-murid sekolah terbabit.
Ahli Parlimen Kota Kinabalu, YB Jimmy Wong Sze Phin
“Bagi Sekolah Kebangsaan Pulau Sepanggar dan Pulau Gaya, saya berharap supaya kementerian menyediakan kemudahan asrama yang juga dapat membantu kurangkan kos pengangkutan dan menjimatkan keperluan keluarga murid-murid ini.
“Kerajaan juga boleh pertimbangkan untuk sediakan pengangkutan bot percuma kepada murid dan guru-guru di sekolah tersebut.
“Pengangkutan air yang baik sangat penting kerana ini melibatkan keselamatan dan kehadiran murid ke sekolah terutamanya Sekolah Kebangsaan Pulau Sepanggar,” katanya lagi.
Sekolah Kebangsaan Sepanggar menempatkan sekitar lebih 350 murid lelaki dan perempuan dan majoriti mereka bukan dari Pulau Sepanggar.
Rata-rata murid yang bersekolah di situ berasal dari Kampung Numbak yang mengambil masa sekitar 20 hingga 30 minit menaiki bot dari jeti kampung tersebut.
Terpaksa bersesak-sesak naik bot
Murid terpaksa bersesak-sesak dalam bot.
Dalam tinjauan ini, Roketkini turut berpeluang mengikuti perjalanan menaiki ‘bot sekolah’ bersama 120 murid yang lain. Turut sama dalam lawatan ini ialah Penyelaras DAP Inanam Edward Liau dan Florence Lim.
Sejak jam 6.20 pagi, suasana jeti bot menuju Sekolah Kebangsaan Pulau Sepanggar meriah dengan suara kanak-kanak.
Mereka terpaksa duduk bersempit-sempit menunggu rakan-rakan yang lain untuk tiba menaiki bot dengan kekuatan enjin 130 kuasa kuda.
Berdasarkan pemerhatian, sebahagian besar murid mengenakan jaket keselamatan yang disumbangkan oleh kerajaan.
Ahmad Askalan, pengendali bot sekolah.
Setiap murid dikenakan bayaran sebanyak RM2.50 seorang pergi dan balik. Bagaimanapun, ada ibu bapa yang mengahantar anak mereka terpaksa berhutang kerana tidak mampu membayarnya.
“Saya bayar esok ya,” kata seorang ibu kepada pengendali bot.
Menurut salah seorang pengendali bot, Ahmad bin Askalan, 48, sebelum pengharaman pump boat (bot pam) yang merupakan pengangkutan utama di kawasan tersebut, ibu bapa murid-murid ini tidak berhadapan dengan sebarang masalah menghantar anak-anak mereka ke sekolah.
Keluarga miskin, tidak mampu bayar tambang
Namun, setelah kerajaan mengharamkan penggunaan bot pam itu, kehadiran murid ke sekolah juga terjejas.
Pintu masuk ke SK Sepanggar dari jeti.
“Masalahnya murid kampung ini tidak turun ke sekolah sebab tidak dibenarkan lagi pakai enjin pump boat. Jadi sekarang ibu bapa terjejas tidak dapat pencarian di laut.
“Kalau dapat (ditahan pihak berkuasa menggunakan pump boat), akan ditangkap. Tiada buat kesalahanpun ditangkap,” ujarnya.
Ahmad mengadu, pengharaman bot pam oleh kerajaan telah menyukarkan warga setempat mencari rezeki dan berharap isu ini dapat diselesaikan segera oleh pihak berkuasa.
Lawatan Roketkini ke Pulau Sepanggar bukan sekadar meninggalkan tanda tanya mendalam terhadap pelaksanaan dasar-dasar kerajaan dalam pembangunan pendidikan malah juga persoalan melibatkan pembangunan sosio ekonomi rakyat negara ini khususnya bagi kumpulan masyarakat yang terpinggir seperti warga di Kampung Numbak dan sekitarnya.  –Roketkini.com
*Foto oleh Hafiz Zainuddin