Ketua Penerangan Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Jeli, Wan Mahussin Wan Zain (gambar atas) secara kreatif menyunting Kembali kenyataan media berisi ucapan Pas sempena Hari Krismas baru-baru ini.
Beliau yang juga aktif di TikTok menukar nama Pas dengan UMNO, DAP dan PKR pada kenyataan media terdiri daripada enam perenggan itu.
“Kita tukar versi (ucapan) ni. Agak-agak penuh tak balai polis dan kecaman kepada parti selain Pas?
“NGO jangan tidur. Baca sambil pegang bendera Pas,” katanya dalam hantaran di Facebook.
Sehari sebelum sambutan Natal lalu, Pas mengucapkan selamat menyambut Hari Krismas kepada penganut beragama Kristian di seluruh negara.
Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, sambutan perayaan yang disambut 9.1 peratus penduduk Malaysia ini diharap akan berjalan lancar dan selamat sebagaimana tahun sebelumnya.
“Sambutan hari kebesaran penganut Kristian adalah sebahagian budaya besar Malaysia yang menambah kepada warna-warni pengalaman hidup rakyat.
“Ia juga boleh menyumbang kepada pembentukan jati diri masyarakat yang lebih matang, saling menghormati dan bertimbang rasa,” katanya dalam kenyataan yang mengundang reaksi sinis warganet.
Hal ini memandangkan kebanyakan penyokong parti yang dikepalai Tan Sri Abdul Hadi Awang itu dilihat ‘alergi’ dengan isu kaum dan agama.