JPJ serbu mengejut Puspakom, kantoi ada kenderaan tak selamat tapi dilepaskan






Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) melakukan serbuan dan pemeriksaan mengejut ke Puspakom hari ini susulan beberapa kes kemalangan membabitkan kenderaan berat kebelakangan ini.

Op Mengejut Puspakom di seluruh negara itu dilakukan tanpa pemakluman kepada Puspakom, seperti yang dikehendaki Menteri Pengangkutan, Anthony Loke yang ingin pihaknya melaksanakan penguatkuasaan secara berfasa.

Hasilnya dalam operasi di Puspakom Wangsa Maju, JPJ telah mengeluarkan 69 notis saman setelah melakukan pemeriksaan ke atas 115 lori, manakala 29 kenderaan telah diambil tindakan.


Menurut Pengarah Kanan Penguatkuasa JPJ, Muhammad Kifli Mat Hassan, pihaknya mengesan beberapa kesalahan yang dilakukan oleh pemandu lori antaranya menggunakan tayar celup yang tidak selamat dan uzur.


Turut sama menyertai operasi itu, Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan (MOT), Datuk Jana Santhiran Muniayan dan Pengarah JPJ Kuala Lumpur Hamidi Adam.

“,Ketua Setiausaha MOT telah memaklumkan kepada Ketua Pegawai Eksekutif Puspakom (Mahmood Razak Bahman) untuk membuat penambahbaikan segera dalam hal ini kerana kebanyakan tayar ini mudah pecah dan jika tidak ditangani, ia boleh mengakibatkan kemalangan,” ujarnya menurut Sinar Harian.



 Kata beliau lagi seperti dilapor, pemeriksaan di Puspakom Wangsa Maju juga mendapati sebuah kenderaan yang dianggap tidak selamat telah lulus pemeriksaan di Puspakom terbabit.

Susulan itu, penyelia dan kakitangan Puspakom yang bertanggungjawab bagi pemeriksaan itu diarah hadir ke Ibu Pejabat JPJ pada Selasa untuk soal siasat selain kertas siasatan akan dibuka.