Juruterbang MH370 emosi rentas Penang

webmaster


Beberapa hari sebelum genap setahun kehilangan pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370, kapten kanan Boeing 777 dengan syarikat penerbangan utama mendakwa misteri penerbangan itu angkara juruterbang.

Teori Kapten Simon Hardy yang dilaporkan akhbar United Kingdom, Daily Mail hari ini mendakwa petunjuk utama ialah selepas pesawat merentasi sempadan Thailand dan Malaysia, pesawat berkenaan membuat pusingan U ke Pulau Pinang.

Hardy berkata, pesawat MAS itu dipandu secara emosional seperti penerbangan terakhir ke kampung halamannya ke Pulau Pinang.

"Penerbangan luar biasa ke Pulau Pinang mungkin satu-satunya petunjuk pelaku. Saya mengambil masa berbulan-bulan memahaminya.

"Petunjuknya ialah Ayers Rock," Hardy dilaporkan berkata merujuk kawasan berbukit di Australia.

"Saya melakukan perkara yang sama di sana. Melihat ke bawah menyaksikan pemandangan yang indah. Seseorang membuat tatapan emosi terakhir di Pulau Pinang,” katanya.

Pesawat MAS MH370 dipandu Kapten Zaharie Ahmad Shah yang berasal dari Pulau Pinang dan pembantunya, Fariq Abdul Hamid dari Selangor.

Juruterbang Britain itu mendakwa selepas "penerbangan terakhir" itu dibuat, pesawat MH370 itu sengaja membuat pendaratan di tengah Lautan Hindi menjawab mengapa pesawat malang itu tidak pernah dijumpai.

Katanya, pencarian semasa oleh Lembaga Keselamatan Pengangkutan Australia (ATSB) di selatan Lautan Hindi tersasar kira-kira 100 batu nautika daripada pesawat MH370 berada.

Teori Hardy itu turut disokong David Learmount daripada majalah Flight International, laman flightglobal dan pakar keselamatan penerbangan terkemuka di United Kingdom.

Learmount dipetik Daily Mail sebagai berkata: "Sejak Kapten Simon Hardy membuat pendedahan di Flightglobal/Flight International mengenai jangkaannya di mana MH370 berada, ATSB ketua pencarian MH370 berborak panjang dengannya."

Laporan itu menambah ATSB mendapati teori Hardy mempunyai kredibiliti.

Penerbangan MH370 hilang kurang sejam selepas berlepas dari Kuala Lumpur dalam perjalanan menuju ke Beijing 8 Mac tahun lalu. Kebanyakan daripada 239 penumpang pesawat itu adalah warganegara China.

Kerja pencarian pesawat MH370 meliputi kawasan Laut China Selatan, Selat Melaka, Lautan Andaman dan selatan Lautan Hindi melibatkan 65 pesawat, 95 kapal dan pakar dari 25 buah negara.

Kerajaan Malaysia menerusi Jabatan Penerbangan Awam pada 29 Januari lalu mengisytiharkan pesawat MH370 "hilang dalam kemalangan melibatkan 239 penumpang dan anak kapalnya terbunuh".


No comments: