Dr Lo' lo' : RUU Perbadanan Pembangunan Kampung Baru Perlu Dijelaskan Secara Teperinci




SHAH ALAM 10 JUN : Beberapa cadangan berhubung Pindaan Rang Undang-undang Perbadanan Pembangunan Kampung Baru (RUU PPKB) perlu dijelaskan kepada penduduk sebelum ia dibentangkan di Parlimen, tegas Ahli Parlimen Titiwangsa, Dr Lo’ lo Ghazali.

Menurut Dr Lo' lo', beliau menyambut baik pembatalan pembubaran Lembaga Pentadbiran Penempatan Pertanian Melayu (Mas) dan enakmen Mas.

Bagaimanapun pihaknya mempersoalkan apakah status lembaga itu kini, kerana Perbadanan Pembangunan Kampung Baru (PKKB) tetap bertindak sebagai pentadbir Kg Baru.

Katanya lagi, kemasukkan jawatan Timbalan Pengerusi dalam RUU dengan menyebut Pengerusi dan Timbalan Pengerusi hendaklah seorang Melayu mengikut Perkara 160 Perlembagaan Persekutuan turut dipersoalkan kerana sebelum ini dalam Fasal 5(1) Keanggotaan Perbadanan ia mestilah dilantik daripada kalangan pemilik dan pewaris tanah Kampung Baru sendiri.

"Fasal 5(1) Keanggotaan Perbadanan telah dikurangkan dan ditambah dengan memasukkan Timbalan Pengerusi yang mana dalam RUU PPKB 2010 yang asal jawatan ini tidak ada manakala pelantikanya akan dibuat daripada kalangan pemilik dan pewaris tanah Kg. Baru," katanya.

"Kenapa dalam Fasal 5(2) ini tidak disebut perlantikan mestilah di kalangan pemilik dan pewaris tanah Kg. Baru? Adakah ada helah di sebalik perlantikan ini? soal Dr Lo' lo' dalam satu kenyataan medianya, semalam.

Dr Lo' lo' berkata, Fasal 5(1) (f) dalam RUU PPKB 2010 yang asal menetapkan untuk melantik anggota perbadanan ia memerlukan dua pemilik tanah Kampung Baru, namun setelah ia diganti dengan fasal baru lembaga berkenaan mengkehendaki lima wakil Badan Bukan Kerajaan (NGO).

"Adakah ini juga disebabkan lobi-melobi daripada Badan-badan Bukan Kerajaan yang diketahui mempunyai kepentingan-kepentingan tertentu atau yang gilakan jawatan di dalam Perbadanan? Apakah signifikannya perlantikan mereka ini? soalnya lagi.

Mengulas lanjut mengenai mekanisme pembangunan Dr Lo' lo' berkata beliau akan merujuk perkara tersebut mengikut RUU PPKB 2010 yang asal disebut penggunaan Akta Pengambilan Tanah 1960 tetapi dalam pindaan yang dicadangkan, peruntukan itu telah dipotong.

Ujar Dr Lo' lo' lagi, sekiranya benar Akta Pengambilan Tanah 1960 tidak mahu dan tidak akan digunakan kenapa ia tidak dimasukkan terus peruntukan yang spesifik bahawa Akta Pengambilan Tanah 1960 tidak akan digunakan dalam pembangunan Kg. Baru?

“Jika begitu keadaannya, bagaimanakah pula bentuk rancangan pembangunan yang hendak dijalankan? Apakah ia akan melibatkan pemindahan penduduk sepanjang tempoh pembangunan tersebut ? Jika perlu dipindahkan, ke mana dan adakah sebarang pampasan atau gantirugi yang akan diberikan?,” soal beliau.

Tambah Dr Lo' lo', persoalan-persoalan berhubung RUU PPKB ini masih kabur kepada sebilangan besar penduduk Kg Baru dan perkara ini perlu diberikan penjelasan teperinci oleh pihak Kementerian.

Jelasnya lagi, perkara utama dalam perkara ini adalah dengan menarik semula pembentangan RUU yang dibuat pada Disember tahun lalu kerana segala pindaan yang dicadangkan itu tidak bermakna dan tidak akan menjadi sebahagian daripada undang-undang selagi mana RUU yang asal masih berada di Parlimen.