‘Undi Rabu’ mudahkan BN rampas Kelantan dari tangan PAS?


Wujud pertembungan pendapat antara Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man tentang keputusan Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) menetapkan hari Rabu 9 Mei sebagai hari mengundi bagi PRU ke-14.
Di pihak Haji Hadi, SPR berhak untuk menentukan hari mengundi pada bila-bila masa ia suka, termasuklah pada pertengahan minggu; meski menyusahkan ramai pihak untuk mengambil cuti dan pulang ke kawasan mengundi.
“Jangan kata dia (SPR) buat begini, begitu. Kita tak mahu campur kerana itu hak dia. Dia nak adakan hari apa, kita tetap akan mengundi. Dia buat hari Jumaat sekalipun, bukan sepanjang masa kita solat Jumaat… boleh pergi mengundi,” katanya, dilaporkan Malaysiakini.
Berbeza dengan Tuan Ibrahim yang bingkas mengecam keputusan SPR tersebut.
Bagi beliau, tindakan SPR itu “bukan sahaja menyusahkan rakyat malah merompak hak mengundi rakyat yang berada diluar kawasan bagi membuang undi. Ini petanda BN telah menghidu tsunami rakyat menolak BN bertiup kuat sehingga susah dibendung lagi.”
Tuan Ibrahim nampak jelas muslihat di sebalik strategi undi hari Rabu. Walaupun ya lah kerajaan sementara yang ada boleh mengumumkan hari Rabu sebagai cuti umum. Namun bagi beliau, mengundi di pertengahan minggu adalah perkara yang tidak sepatutnya berlaku.
“Apakah kakitangan swasta akan sanggup mengambil cuti sehari sahaja untuk kembali mengundi? Ataupun mereka sanggup korbankan 3 hari untuk mengambil cuti agar bersambung dengan hari minggu untuk memudahkan perjalanan?
“Apakah majikan swasta akan mengizinkannya, terutamanya bagi semua perantau yang bekerja di Selangor dan KL dan luar negara?
“Apa masalah bagi SPR menjadikan hari Sabtu pada 1 atau 5 Mei sebagai hari pengundian kerana ia akan memudahkan semua pengundi?” tulisnya dalam kenyataan di laman Facebook rasmi beliau.
Fikrah siasah Tuan Ibrahim sangat jelas. Sekilas ikan di air, sudah boleh dikenal jantan betina. Sama seperti reaksi orang ramai yang cepat menangkap niat SPR. Ternyata jauh berbeza dengan reaksi presidennya.
Mungkin Haji Hadi tidak perasan, bahkan tidak peduli; bahawa strategi undi hari Rabu adalah langkah yang cukup berkesan untuk merampas Kelantan dari tangan PAS.
Umum sedia maklum bahawa orang Kelantan ramai merantau ke seluruh negara untuk mencari rezeki. Bahkan ada bandar-bandar di Selangor yang sudah jadi seperti mini-Kelantan kerana ramainya diaspora negeri Cik Siti Wan Kembang itu. Hatta ada yang mengusahakan untuk menerbangkan sarapan dari negeri Kelantan untuk anak-anak rantau di seluruh Malaysia.
Pokoknya, Kelantan mempunyai ramai pengundi luar. Ertinya mereka harus pulang dari perantauan untuk mengundi. Mereka tidak memilih untuk berpindah tempat mengundi, mungkin kerana sifat sayang ke negeri yang sangat menebal.
Foto kredit Twitter @aminlandak
Bagi kartunis Amin Landak, 29 tahun; mengundi di Kelantan adalah kewajipan yang mesti ditunaikan.
“Aku tak ada rumah di Kuala Lumpur, aku menyewa. Rumah keluarga di Kelantan, dan aku tak berniat untuk tinggal di KL selama-lamanya,” kata beliau.
“Kelantan lebih memerlukan undi aku,” ujarnya lagi.
Amin Landak mungkin antara minoriti yang faham tentang konsep satu orang, satu undi dan masalah perkadaran undi mengikut sempadan di kawasan-kawasan seluruh negara. Nilai undinya di Kelantan adalah lebih besar berbanding nilai undinya di Selangor, apatah lagi di Kuala Lumpur.
Contoh mudah kita bandingkan antara Putrajaya yang memiliki 17,925 pengundi dengan kawasan Parlimen Subang yang mempunyai 130,211 pengundi. Walaupun Subang mempunyai bilangan pengundi sebanyak tujuh kali ganda Putrajaya, ia hanya memilih seorang Ahli Parlimen, sama seperti Putrajaya.
Maka Amin Landak akan pulang mengundi di Kelantan, bersama ribuan lagi rakyat Kelantan di perantauan. Mereka akan berpusu-pusu pulang ke kampung halaman, sepertimana kelaziman pulang berhari raya.
Tetapi soalnya berapa ramai yang akan betul-betul sanggup menempuh perjalanan pulang pada pertengahan minggu?
Persoalan inilah yang menjadi pertaruhan Barisan Nasional, terutamanya di Kelantan; berhadapan PAS tanpa Almarhum Tuan Guru Nik Aziz Nik Mat.
Dua hari selepas pilihanraya Mei 2013, Berita Harian menerbitkan suatu laporan dengan tajuk ‘Pengundi balik kampung bunuh BN’. Tajuk kecilnya pula berbunyi ‘Gelombang kebangkitan belum mampu ambil alih Kelantan’. Gambar Datuk Seri Mustapa Mohamed dan Tan Sri Annuar Musa kelihatan kecewa dan mengalah menghiasi laporan tersebut.
United Malays National Organisation amat mengetahui bahawa faktor pengundi luar adalah penghalang besar kemenangannya di Kelantan. Justeru ia meraikan undi hari Rabu.
Presiden PAS mungkin belum mendapat nasihat yang tepat.

No comments: