Pencapaian 2008 – 2017: PH berjaya bina 24,227 rumah di P Pinang
Kerajaan Pulau Pinang mendedahkan bahawa BN gagal menyediakan perumahan mampu milik yang mencukupi kepada rakyat Pulau Pinang sewaktu diberi mandat mentadbir negeri ini sejak sekian lama.
Exco Perancangan Bandar, Desa dan Perumahan, Jagdeep Singh Deo (gambar) berkata, perkara itu terbukti selepas Pakatan Harapan mengambil alih pentadbiran kerajaan negeri dengan menyaksikan jumlah pemohon yang menunggu adalah terlalu ramai.
“Semua sedia maklum bahawa kerajaan negeri sememangnya memberi keutamaan kepada pembekalan perumahan kos rendah, sederhana rendah dan mampu milik yang mencukupi untuk rakyat Pulau Pinang.
“Kita akui mereka (BN) ada bina rumah mampu milik, ini tidak dapat dinafikan tetapi jumlahnya terlalu sedikit dan tidak mencukupi. Sedangkan jumlah pemohon yang sedang menunggu adalah terlalu ramai,” katanya.
ADUN Datok Keramat itu berkata, terdapat sebanyak 24,227 unit rumah mampu milik jenis kos rendah dan sederhana rendah telah siap dibina di lima daerah di negeri ini sejak 2008 hingga 2017.
“Berbanding pula dengan rumah mampu milik yang dibina secara fizikal oleh BN sejak 1999 hingga 2007 hanya sebanyak 5,154 unit rumah, iaitu suatu jumlah yang sangat berbeza.
“Ini menunjukkan pencapaian lima kali ganda oleh kerajaan Pulau Pinang jika dibandingkan dengan kerajaan BN,” katanya dalam sidang media berkenaan.