ROMBAKAN KABINET BANTU PERDANA MENTERI CAPAI SASARAN EKONOMI



Barisan kepimpinan baharu dalam kabinet Kerajaan Perpaduan diyakini mampu merancakkan lagi usaha kerajaan untuk memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat selaras dengan tekad Malaysia MADANI.

Sehubungan itu, Ahli Parlimen Segamat, R Yuneswaran optimis kehadiran muka-muka baharu yang juga terdiri daripada tokoh teknokrat mampu memberi impak baik kepada ekonomi negara selain menstabilkan suhu politik pada ketika ini.

“Saya yakin barisan kehadiran tokoh baharu ini bukan sahaja boleh menstabilkan politik negara tetapi ia juga boleh memberikan idea-idea baharu yang baik untuk negara.

“Ia bukan sahaja memenuhi ruang kekosongan dan jawatan kabinet tetapi dengan kepakaran dalam bidang masing-masing itu mampu membantu Perdana Menteri untuk terus memacu negara,” katanya.

Semalam, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan lima menteri serta timbalan menteri, termasuk empat muka baharu dan penampilan semula lima bekas menteri dalam kabinet baharu Kerajaan Perpaduan.

Antara menteri baharu yang dilantik ialah Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Seri Johari Abdul Ghani, sebagai Menteri Perladangan dan Komoditi; Ahli Parlimen Damansara dan Timbalan Pengerusi DAP, Gobind Singh Deo (Menteri Digital); serta Ahli Parlimen Kuala Selangor, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad (Menteri Kesihatan).

Manakala, Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim Chee Keong yang sebelum ini Timbalan Menteri Kewangan kini memegang jawatan Menteri Sumber Manusia, manakala Datuk Seri Amir Hamzah Azizan pula Menteri Kewangan II yang dilantik sebagai senator.

Dalam pada itu, Perdana Menteri turut mengumumkan penyusunan semula kementerian berdasarkan keperluan semasa, melibatkan Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim yang kini dipecahkan kepada Kementerian Peralihan Tenaga dan Daya Guna Awam serta Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam.

Kementerian Komunikasi dan Digital pula dipecahkan kepada Kementerian Digital serta Kementerian Komunikasi.

Rombakan itu juga, turut menyaksikan jumlah ahli Jemaah Menteri meningkat daripada 28 kepada 31 orang, manakala timbalan menteri pula meningkat daripada 27 kepada 29 orang, dengan jumlah keseluruhan anggota pentadbiran Kerajaan Perpaduan kini mencecah 60 orang.


No comments: