PANGKALAN DATA PADU KEJAYAAN KEMENTERIAN EKONOMI


 Pangkalan Data Utama atau PADU yang akan mula dibuka kepada rakyat Malaysia untuk tujuan validasi adalah kejayaan utama Kementerian Ekonomi sepanjang 2023.

Pangkalan data tersebut yang julung kali diwujudkan oleh kerajaan Malaysia, menurut Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli akan mampu mengenalpasti isi rumah yang memerlukan bantuan mengikut keperluan masing masing dan memudahkan kerajaan dalam pengagihan subsidi bersasar.

“Setelah penjawat awam dari seluruh jabatan kerajaan bertungkus lumus sejak Mei 2023, InshaAllah sistem Pangkalan Data Utama (PADU) akan dibuka kepada orang ramai untuk validasi bermula Januari ini.

“Begitu jugalah dengan beberapa keputusan dasar yang lain. Tahun 2023 memberi tumpuan untuk mencapai sepakat keputusan-keputusan penting yang tertangguh oleh pentadbiran-pentadbiran lalu.

“Bermula 2024, pelaksanaan dasar-dasar menyeluruh ini akan mula dirasai dan difahami oleh rakyat,” katanya dalam satu kenyataan.

Bagi Rafizi, selesai membangunkan PADU yang merupakan beban besar sejak beliau menjawat Menteri Ekonomi setahun lalu maka terdapat masa terluang untuknya menumpukan kepada satu lagi tugasan penting iaitu memberi pencerahan untuk melawan propaganda pembangkang.

Perkara itu yang sering beliau lakukan ketika menjadi pembangkang, katanya, tidak mampu lagi dilakukan secara berkesan setelah bergelar menteri.

“Pembangkang sekarang memilih untuk membodohkan rakyat dengan mainan sentimen perkauman, menolak fakta dan mengalihkan pandangan rakyat dari perkara sebenar.

“Tujuan mereka ialah supaya rakyat berterusan mengeluh dan menolak fakta-fakta yang ada di depan mata mereka.
Itu hak mereka untuk memilih strategi masing-masing.

“Sebagai salah seorang pemimpin PH dan kerajaan, menjadi tanggungjawab dan hak saya untuk melawan usaha pembodohan rakyat demi kuasa ini.

“Sebelum ini, saya tidak terlalu memberi perhatian untuk menjawab kerana saya tumpukan sepenuh masa untuk memastikan keputusan-keputusan dasar penting dibuat untuk menambahbaik struktur ekonomi negara,” katanya.

Menurut Ahli Parlimen Pandan itu, beliau akan menggunakan pendekatan menunjukkan kebodohan pembangkang selepas ini yang sering digunakan ke atas pemimpin parti lawan sejak kembalinya beliau ke arena politik secara sepenuh masa pada 2011 lalu.

“Sebahagian daripada caranya ialah dengan menunjukkan kebodohan hujah pembangkang.

“Saya tahu ada penyokong pembangkang yang akan melenting. Bila mereka tidak boleh menjawab, alasan yang selalu diberikan ialah “ini bukan kerja menteri”, atau “ini je level menteri” dan yang sama waktu dengannya. Itulah reaksi mereka bila menteri mula menjawab.

“Saya diajar beberapa perkara asas, kalau ada yang memukul secara tidak adil, jangan teragak-agak untuk pukul balik.
Ini masa untuk memukul balik siri pembodohan Perikatan Nasional.” kata Rafizi lagi.