ANWAR SEPATUTNYA DIBERI KEMENANGAN YANG SELESA DI PORT DICKSON, TAPI....



Image may contain: text


Entah mengapa, malah semacam  tiba-tiba, sentimen berkaitan pilihanraya kecil Port Dickson yang tujuannya mahu meletakkan semula Anwar Ibrahim sebagai Ahli Parlimen, telah berubah menjadi bercabang-cabang dan tidak seperti yang diharapkan.

Terikat dengan janji bahawa Anwar telah dipersetujui untuk menggantikan Tun Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri ke-8, pilihanraya kecil Port Dickson sepatutnya disambut dengan rasa gembira oleh semua pihak dalam Pakatan Harapan.

Setidak-tidaknya, dengan Anwar sudah bergelar Ahli Parlimen, jika apa-apa terjadi kepada Tun Mahathir, soal pengganti Perdana Menteri tidak lagi menjadi masalah kepada gabungan itu.

Berbanding Anwar tidak bergelar Ahli Parlimen dan kalau tiba-tiba secara tidak semena-mena berlaku sesuatu yang tidak diingini kepada Tun Mahathir, sudah tentu akan berlaku sedikit kekalutan dalam soal menentukan siapa yang mahu diletakkan sebagai penggantinya.

Apakah ketika itu Dr. Wan Azizah Wan Ismail akan dilantik sebagai pemangku Perdana Menteri atau terus mengambil alih jawatan Perdana Menteri?

Sebab itu, bagi Pakatan Harapan seluruhnya, Langkah Port Dickson ini harus diterima dan dihadapi dengan satu sentimen dan komitmen yang jelas iaitu menjamin kemenangan yang selesa buat Anwar.

Hanya dengan kemenangan selesa kepada Anwar saja dapat meredakan segala keributan dan syak wasangka berkaitan Pakatan Harapan dan juga tentang hubungan Presiden PKR itu dengan Tun Mahathir.

Selebihnya, kemenangan selesa itu, menuruti kemenangan dalam tiga pilihanraya kecil sebelum ini, adalah ubat paling mujarab untuk terus mendiamkan UMNO dan Pas daripada berterusan berpencak yang bertujuan mengkucar-kacirkan Pakatan Harapan.


Image may contain: drawing




Bayangkan betapa meraknya tocang UMNO dan Pas jika di Port Dickson ini, Anwar hanya menang tipis atau lebih parah, kalau ditimpa kekalahan?

Oleh yang demikian, demi kestabilan, kekukuhan dan terus memudahkan Tun Mahathir dalam mentadbir negara, tiada pilihan selain memastikan kemenangan selesa serta bergaya buat Anwar di Port Dickson.

Namun, di sebalik itu, sentimen lain yang wujud kebelakangan ini jelas tidak berapa sedap kedengaran di mana terdapat suara-suara di kalangan penyokong Pakatan Harapan sendiri yang lebih suka melihat agar Anwar tidak menang di Port Dickson.

Alasan yang ditampilkan ialah Anwar dilihat begitu tergesa-gesa mahu mengambil alih jawatan Perdana Menteri, meskipun Tun Mahathir sudah membayangkan hanya akan memegang jawatan itu selama dua tahun saja.

Mereka berhujah, mengapa tidak Anwar kembali sebagai Ahli Parlimen setelah setahun atau setahun setengah Tun Mahathir menjadi Perdana Menteri?

Kenapa hanya baru empat bulan Tun Mahathir jadi Perdana Menteri dan masih dalam bertungkus lumus hendak memulihkan negara, Anwar tiba-tiba sudah mahu jadi Ahli Parlimen?

Apakah beliau masih meragui janji Tun Mahathir dan tidak mempercayai konsensus Pakatan Harapan mengenai kedudukannya sebagai Perdana Menteri ke-8?

Lagi pula, untuk apa Anwar tergesa-gesa hendak masuk ke Parlimen, sedangkan isterinya sudah memegang jawatan Timbalan Perdana Menteri dan anaknya, Nurul Izzah turut merupakan Ahli Parlimen Permatang Pauh?

Selain itu, mengapa Anwar memilih Port Dickson dan tidak Pandan atau Permatang Pauh yang kini diwakili oleh isteri dan anaknya tidak kurang menjadi persoalan ramai.

Kata mereka yang berhujah, jika benar Dr. Wan Azizah Wan Ismail akan meletakkan jawatan sebaik Anwar menjadi Perdana Menteri, bukankah lebih baik beliau bertanding di kawasan Pandan yang sekarang diwakili isterinya itu?

Tidak kurang yang mempersoalkan di mana janji Anwar sebaik keluar penjara dan diberi pengampunan sebelum ini yang mahu menghabiskan sekurang-kurangnya dua tahun untuk bercuti dan memberi syarahan di universiti-universiti luar negara?

Berdasarkan semua alasan itu, ramai yang berhujah bahawa lebih baik Anwar kalah dalam pilihanraya kecil Port Dickson dan kemudian boleh kembali sebagai Ahli Parlimen dalam PRU15 pada tahun 2023 akan datang.

Ia bahkan dikatakan selain untuk memberi pengajaran kepada Anwar yang dilihat tidak sabar dan mementingkan diri sendiri, turut memberi ruang yang cukup selesa kepada Tun Mahathir dan kabinet sedia ada menyelesaikan pelbagai permasalahan negara yang ditinggalkan oleh Najib Razak.

Apa pun, sementara tarikh penamaan calon dan pengundian belum ditetapkan lagi dan tempoh bertenang masih ada lebih kurang 60 hari daripada sekarang, Pakatan Harapan dan PKR khususnya, harus menguruskan sentimen penolakan itu dengan sebaik-baiknya.

Apatah lagi, sentimen itu melibatkan nama-nama yang dikenali ramai seperti S Ambiga, bekas Pengerusi Bersih, selain Langkah Port Dickson juga dikatakan hanya cetusan kehendak Rafizi Ramli dan tidak dibincangkan dalam Biro Politik PKR.

Sentimen itu, kalau tidak diuruskan dengan baik dan kemudian berkembang dengan meluas di media-media sosial, ia tidak mustahil akan memberi kesulitan kepada langkah Anwar untuk mencapai kemenangan di Port Dickson.

Bahayanya jika Anwar kalah di Port Dickson ialah ia tidak saja akan mengkucar-kacirkan Pakatan Harapan, malah sama seperti menghadiahkan ufti kemenangan kepada pihak lawan iaitu UMNO dan Pas.

Apakah itu lebih baik? (ShahbudinHusin 16/09/2018).

No comments: