Kita tidak boleh salahkan YB Fahmi Fadzil dan juga ketua pengarah JKom atas kelemahan komunikasi kerajaan seperti penyokong PH suka pertikai.


Fathi Aris Omar



 Kita tidak boleh salahkan YB Fahmi Fadzil dan juga ketua pengarah JKom atas kelemahan komunikasi kerajaan seperti penyokong PH suka pertikai.

Dunia komunikasi politik, teknologi dan budaya politik sudah jauh berubah. Media konvensional seperti akhbar, radio dan TV sudah tidak relevan.
Malah portal berita, muncul daripada generasi awal komunikasi ICT, sudah tidak mampu bersaing dengan jaringan info dan budaya media sosial.
Kita kecewa atau marah pada mereka kerana kita sendiri masih membayangkan kerajaan mampu monopoli sumber maklumat dan mengawal naratif pihak berkuasa macam dulu-dulu.





Lupakanlah "Mr Propaganda" TS Mohamed Rahmat, kempen Setia Bersama Rakyat (Semarak) dan lirik lagu Setia era 1980-an. Memang beliau hebat pulihkan reputasi Umno (baru), DS Dr Mahathir Mohamad dan kerajaan sewaktu dilanda krisis.
Tetapi zaman itu zaman kawalan ketat, zaman Operasi Lalang, zaman Umno diharamkan, zaman akhbar diharam, zaman kesatuan sekerja dilumpuh dan zaman memuncak kawalan perdana menteri. Zaman istana dan ketua hakim jadi catur eksekutif.
Kalaulah Tok Mat diberi tugas yang sama, beliau juga tidak mampu. Mujur beliau digugur pada 1999.
Tengok semua komunikasi kerajaan dan jentera penerangan Umno sejak krisis 1997-1998, tiada propaganda yang boleh menyekat kemaraan naratif parti pembangkang. Berita TV dipersenda, akhbar harian berlonggok-longgok tidak laku.




Akhbar Harakah, mingguan Eksklusif, majalah alternatif Detik, novel Shit atau buku politik Mohd Sayuti Omar II mendapat sambutan luar biasa. Ratusan ribu dicetak. Belum lagi puluhan ribu peminat ceramah di seluruh negara setiap malam.
Laman Reformasi (atau Mahazalim), kemudian Malaysiakini dan blog, tidak terlawan oleh komunikasi kerajaan. Samalah nasib JKom sejak awal ditubuh dengan nama JASA. Ia juga gagal.

Sewaktu kami bertiga, pemimpin kanan Malaysiakini, dipanggil menghadap TS Zainuddin Maidin (waktu itu SU parlimen Kementerian Penerangan) di Angkasapuri, majoriti kakitangan RTM senyum dan angkat tanda bagus kepada kami. Bayangkan itu pusat propaganda kerajaan!
Sejak bermula zaman komunikasi internet, emel, mailing list, telefon bimbit dan SMS, tiada lagi kawalan kerajaan. Sebab itu walau ribuan orang Umno jerit "refor-mati" atau "refor-basi", gerakan pembangkang terus mara tanpa dapat dibendung.
Walau Dr Mahathir diganti Tun Abdullah Ahmad Badawi, arus 2008 menenggelamkannya. Kejayaan luar biasa dan terakhir BN dicetak pada 2004.
Sejak itu, DS Najib Razak tidak mampu menahan gelombang amarah rakyat pada skandal demi skandal negara sejak era Dr Mahathir pada 1981. Bukan masalah DS Zahid Hamidi atau pengganti. Semua presiden Umno sudah gagal. Nampak?
Tetapi pemimpin dan penyokong PH (dahulu BA, kemudian PR) sudah lupa atau tidak faham arus apakah yang menjulang nama mereka di persada politik negara. Internet, Malaysiakini, blog dan media sosial yang menghangatkan api keresahan.
Mereka naik bukan kerana bakat kepemimpinan (kecuali beberapa tokoh), organisasi tersusun (kecuali PAS) atau disiplin kerja. Ingat!
Mereka naik kerana api di dada rakyat yang sentiasa membara. Apa sebab? Sebab internet dan media sosial memasang api kemarahan dalam fikiran pengundi. Sewaktu monopoli maklumat dan naratif kerajaan sudah lemah dan makin gagal.
Akibat kegagalan itulah, penjawat awam, guru, polis atau tentera sudah tidak terikat dengan naratif rasmi. Mereka mengundi ikut selera masing- masing. Saya ambil satu contoh: polis.
Polis boleh melawan perdana menteri sewaktu Abdullah mahu tubuhkan IPCMC pada 2005. Letak bantahan mereka di laman web rasmi pada 2006. Sistem komunikasi baru itu jadi saluran protes.
Tetapi polis dan SKMM tidak mampu menahan kebocoran maklumat (tohmahan) salah laku, skandal, salah urus atau rungutan pegawai bawah melalui Telegram Edisi Siasat (ES). Nampak? ES di negara kita ibarat WikiLeaks di negara kuasa besar!
Bukit Aman boleh nafi. Tetapi akhirnya pada 2022, Meta mendedahkan kira-kira 600 akaun palsu, 180 halaman dan 11 kumpulan wujud di Facebook, sementara 72 akaun lagi dibuka di Instagram.
"Walaupun dalang di belakangnya cuba menyembunyikan identiti dan penyelarasan kerja mereka, siasatan kami menemukan kaitan dengan Polis Diraja Malaysia," kata Meta sendiri.
Perlu ditegaskan di sini, saya tidak berniat perkecil peranan atau jasa YB menteri, SKMM, polis atau JKom. Bukan. Saya ingin sampai satu mesej yang sudah jelas terpampang: kita berada di zaman teknologi komunikasi yang tidak mampu dikawal.
Bukan sahaja Malaysia tetapi di serata dunia termasuk negara kuasa besar seperti Amerika Syarikat dan Eropah. Semua dibadai gelombang ini. Kecuali kita ada kekuatan teknologi dan sistem/budaya politik tertutup seperti China.
Di negara-negara lain lagi teruk, bukan setakat rungutan PMX hujung minggu lalu atau hentaman penyokong PH pada YB Fahmi dan juga JKom.
Di luar negara sudah berlaku revolusi seperti pemberontakan Musim Bunga Arab 2011 atau rusuhan Gen Z di banyak negara dalam dua tiga tahun mutakhir. Lihat Iran, lihat Sri Lanka, lihat Bangladesah, lihat Indonesia, lihat Nepal, lihat Madagascar dan lihat Maghribi, 2022 hingga 2025.
Kita tidak boleh dipersalahkan atas kekuatan di luar teknologi kita. Kita hanya boleh dipersalahkan atas kejahilan dan kecuaian kita. Atas sifat alpa, tidak endah, sambil lewa atau cincai-cincai berdepan senario teknologi maklumat yang deras ini.
(ii)
Untuk itu saya cadangkan semua kita meneliti beberapa karya penting ini:
1. Shoshana Zuboff – The Age of Surveillance Capitalism: The Fight for a Human Future at the New Frontier of Power (2019)
AI tidak lahir dalam ruang kosong, tetapi melalui eksperimen awal syarikat teknologi (Google paling menonjol) yang menjadikan data pengguna sebagai “bahan mentah” baharu.
AI mula-mula dibangunkan bukan semata-mata untuk penyelidikan akademik, tetapi untuk mengoptimumkan iklan berasaskan data tingkah laku pengguna.
AI berfungsi bukan sahaja untuk mengerti, tetapi untuk mengawal tindakan manusia.
Contohnya: bukan hanya iklan dipaparkan, tetapi juga eksperimen psikologi besar-besaran dijalankan melalui algoritma (contoh: manipulasi mood pengguna Facebook pada 2014).
2. Jonathan Haidt – The Anxious Generation: How the Great Rewiring of Childhood Is Causing an Epidemic of Mental Illness (2024)
Sumbangan utama:
Haidt menunjukkan kaitan langsung antara telefon pintar + media sosial dengan krisis kesihatan mental remaja, terutama selepas 2010 (seiring dengan pengenalan “like button” & notifikasi berasaskan algoritma).
Menurut beliau, remaja menjadi digital natives yang rapuh kerana kurang ruang fizikal bermain & interaksi dunia nyata diganti interaksi maya yang penuh tekanan.
Saya sebut “sakit mental remaja meningkat” akibat media sosial. Haidt menyediakan bukti psikologi-empirik untuk menyokong dakwaan itu.
Haidt juga menguatkan hujah bahawa “butang like/emoji/share” bukan hanya alat komersial, tapi instrumen yang menjejaskan perkembangan kognitif dan emosi generasi muda.
3. Robert Elliott Smith – Rage Inside the Machine: The Prejudice of Algorithms, and How to Stop the Internet Making Bigots of Us All (2019)
Sumbangan utama:
Smith mengkritik bahawa algoritma bukan neutral, sebaliknya direka untuk mengoptimumkan sesuatu metrik (klik, engagement, keuntungan).
Kesan sampingan: algoritma mendorong polarisasi, outrage cycle, dan bias kerana ia memberi "ganjaran" konten yang paling ekstrem/emosional.
Beliau menyebut ini sebagai “keadaan tak sengaja” daripada struktur matematik dan optimisasi — satu kelemahan logik AI.
4. Martin Gurri – The Revolt of the Public and the Crisis of Authority in the New Millennium (2018)
Sumbangan utama:
Gurri berhujah bahawa internet & media sosial melahirkan kuasa awam baharu (the public) yang membanjiri ruang maklumat dengan suara tanpa hierarki.
Akibatnya, institusi tradisi (media arus perdana, kerajaan, parti politik) hilang monopoli autoriti.
Kuasa awam ini bersifat reaktif, berang, dan sering merosakkan: mereka boleh menjatuhkan institusi, tetapi sukar membina sesuatu yang stabil.
Saya sebut “runtuhnya rasa percaya pada institusi rasmi” dan “kerajaan jadi tebusan.” Gurri memberi kerangka teori: ini bukan hanya kerosakan, tetapi peralihan kuasa dari institusi → massa digital.
Gurri juga menjelaskan fenomena Arab Spring, Occupy Wall Street, Hong Kong — yang disebut dalam teks — sebagai bukti bagaimana kuasa awam digital menggugat status quo.
SELAMAT MEMBACA
(coretan asal 9 Disember 2025)


No comments: