Malaysia terus menjadi destinasi pilihan pelabur apabila merekodkan pelaburan diluluskan sebanyak RM92.8 bilion bagi suku pertama 2026, dengan Jepun muncul sebagai pelabur asing terbesar, manakala pelaburan domestik mencatat pertumbuhan paling kukuh dalam tempoh sama.
Menurut Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), jumlah tersebut melibatkan 1,249 projek merentasi sektor perkhidmatan, pembuatan dan sektor utama.
Walaupun nilai keseluruhan mencatatkan penurunan kecil sebanyak 0.2 peratus berbanding RM93 bilion pada suku pertama 2025, impaknya terhadap pasaran pekerjaan jauh lebih besar apabila projek yang diluluskan dijangka mewujudkan 50,226 peluang pekerjaan baharu, meningkat 46.7 peratus berbanding tahun lalu.
Daripada jumlah itu, pelaburan asing menyumbang RM56.2 bilion atau 60.5 peratus, manakala pelaburan domestik meningkat 13 peratus kepada RM36.6 bilion, mewakili 39.5 peratus daripada keseluruhan pelaburan yang diluluskan.
MIDA berkata peningkatan pelaburan domestik mencerminkan keyakinan syarikat tempatan terhadap prospek ekonomi negara.
Dalam kalangan pelabur asing, Jepun mendahului dengan pelaburan berjumlah RM21.5 bilion, melonjak mendadak daripada RM1.6 bilion yang direkodkan pada suku pertama 2025.
Ia diikuti oleh China dan Amerika Syarikat, masing-masing sebanyak RM10.1 bilion, diikuti Singapura (RM6.7 bilion) dan Thailand (RM2.5 bilion).
Menurut MIDA, prestasi kukuh Jepun mencerminkan hubungan ekonomi yang semakin erat melalui Perkongsian Strategik Komprehensif Malaysia-Jepun yang diwujudkan pada Disember 2023.
Sebanyak 93.6 peratus daripada pelaburan Jepun yang diluluskan disalurkan kepada aktiviti berkaitan transformasi digital, sekali gus mengukuhkan kedudukan Malaysia dalam rantaian bekalan teknologi tinggi dan ekonomi digital di rantau ini.
Dari segi negeri, Selangor merekodkan nilai pelaburan tertinggi sebanyak RM33.5 bilion, diikuti Johor (RM16.9 bilion), Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (RM16.9 bilion), Pulau Pinang (RM6.2 bilion) dan Sarawak (RM4 bilion).
MIDA berkata negeri-negeri tersebut terus mengukuhkan kedudukan sebagai hab pusat data global, didorong oleh infrastruktur yang matang, lokasi strategik serta ekosistem teknologi yang semakin berkembang.
Pengerusi MIDA, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz, berkata prestasi suku pertama 2026 membuktikan asas ekonomi Malaysia kekal kukuh walaupun berdepan ketidaktentuan global.
“Kita sedang pesat menjadi hab strategik untuk industri yang akan membentuk dekad seterusnya bagi ASEAN dan Asia,” katanya.
Sektor perkhidmatan kekal sebagai penyumbang terbesar dengan RM60.8 bilion, bersamaan 65.5 peratus daripada keseluruhan pelaburan yang diluluskan melalui 731 projek yang dijangka mewujudkan 19,758 pekerjaan.
Subsektor maklumat dan komunikasi menjadi pemacu utama dengan pelaburan RM38.9 bilion, didorong permintaan global terhadap kecerdasan buatan (AI) dan transformasi digital.
Pelaburan dalam pusat data dan pengkomputeran awan sahaja menyumbang RM34.6 bilion merangkumi 33 projek atau hampir 89 peratus daripada subsektor berkenaan.
Sementara itu, sektor pembuatan menarik pelaburan RM24.1 bilion menerusi 501 projek dan dijangka menghasilkan 30,468 peluang pekerjaan, iaitu lebih 60 peratus daripada keseluruhan pekerjaan yang bakal diwujudkan.
Antara industri utama yang menerima pelaburan ialah elektrik dan elektronik, kimia, jentera dan peralatan, pembuatan makanan serta peralatan pengangkutan.
Sektor utama pula mencatatkan lonjakan ketara dengan pelaburan RM7.9 bilion, meningkat 418.2 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu, dipacu oleh projek minyak dan gas khususnya aktiviti cari gali dan pembangunan luar pesisir di Sarawak.
Setakat 5 Mei 2026, MIDA memaklumkan pihaknya sedang memudah cara 182 projek berpotensi bernilai RM38.3 bilion, selain mengadakan rundingan aktif bagi menarik tambahan pelaburan berpotensi berjumlah RM91 bilion.
Ketua Pegawai Eksekutif MIDA, Sikh Shamsul Ibrahim Sikh Abdul Majid, berkata Malaysia kekal berada dalam radar pelabur antarabangsa kerana memiliki dasar yang jelas, asas ekonomi yang kukuh dan keupayaan melaksanakan projek sehingga ke peringkat operasi.
Beliau turut memaklumkan bahawa Indeks Pembuatan Asia 2026 meletakkan Malaysia di kedudukan kedua di Asia selepas China, pencapaian terbaik negara setakat ini, sekali gus mengukuhkan keyakinan terhadap hala tuju ekonomi dan dasar mesra pelaburan Malaysia.
No comments:
Post a Comment