
Sepatutnya perhatian kerajaan dan pemimpin lebih tertumpu kepada cabaran ekonomi semasa serta krisis tenaga global yang semakin meruncing berbanding melakukan pilihan raya lebih awal daripada masanya.
PENDAPAT, 4 Jun – Bila kita kata PRN Johor membazir, mereka membalas: “Dulu Anwar berapa kali buat PRK?”
Baik. Sebelum menjawab persoalan itu, biar saya terangkan terlebih dahulu mengapa PRN Johor boleh dianggap sebagai satu pembaziran.
Mengapa PRN Johor Membazir?

1. Johor tidak berdepan krisis politik.
Tidak seperti Negeri Sembilan atau Perlis yang mempunyai faktor tertentu untuk membubarkan DUN lebih awal, Johor berada dalam keadaan politik yang stabil.
2. Kedudukan BN di Johor sangat kukuh.
BN menguasai lebih dua pertiga kerusi DUN Johor. Tiada ancaman yang boleh menggugat kestabilan kerajaan negeri.
3. PRN diadakan terlalu awal.
Tempoh penggal DUN Johor masih berbaki sehingga April 2027, iaitu kira-kira 10 bulan lagi. Ini bermakna rakyat Johor berkemungkinan perlu menghadapi dua pilihan raya dalam tempoh yang dekat, iaitu PRN dan kemudian PRU.

4. Inilah yang dimaksudkan dengan pembaziran.
- Tiada tujuan yang benar-benar mendesak selain kepentingan politik UMNO.
- Ia melibatkan kos yang besar, mencecah puluhan atau ratusan juta ringgit.
- Masa dan tenaga pelbagai pihak turut terlibat, termasuk petugas pilihan raya, sekolah yang dijadikan pusat mengundi, pengundi, penjawat awam dan ahli politik.
5. PRN Johor juga menyebabkan pembaziran dari sudut fokus dan tenaga.
Sepatutnya perhatian kerajaan dan pemimpin lebih tertumpu kepada cabaran ekonomi semasa serta krisis tenaga global yang semakin meruncing.
6. Fokus Kerajaan Persekutuan juga boleh terganggu.
Tambahan pula, kerajaan negeri dan kerajaan Persekutuan melibatkan parti yang berbeza, sekali gus mewujudkan tumpuan politik yang boleh mengganggu keutamaan pentadbiran.

Mengapa PRK Yang Melibatkan Anwar Ibrahim Diadakan?
PRK Permatang Pauh
- Selepas Anwar Ibrahim dipecat pada tahun 1998, antara agenda utama pembangkang ialah membebaskan beliau dan akhirnya mengangkat beliau sebagai Perdana Menteri.
Apabila Anwar dibebaskan pada September 2004, beliau masih tidak layak bertanding kerana kesan perundangan daripada sabitan salah guna kuasa.
Setelah tempoh hilang kelayakan itu tamat, dan ketika muncul pula kontroversi berkaitan konspirasi Liwat II, PRK Permatang Pauh diadakan bagi memberi laluan kepada beliau kembali ke Parlimen.

- Perlu diingat bahawa sejak awal lagi, pembangkang memang mahu menjadikan Anwar sebagai Perdana Menteri. Oleh itu, kehadiran beliau di Parlimen dianggap penting supaya suaranya dapat didengar secara langsung dalam arena politik negara.
PRK Kajang
- PRK Kajang, yang lebih dikenali sebagai Langkah Kajang, berlaku dalam konteks krisis Menteri Besar Selangor.
Krisis tersebut sebenarnya boleh diselesaikan dengan lebih mudah, namun menurut pandangan ramai pihak ketika itu, ia disabotaj oleh PAS, khususnya Hadi Awang.

- Akhirnya Langkah Kajang dirancang dengan tujuan membolehkan Anwar dilantik sebagai Menteri Besar Selangor sekiranya beliau memenangi pilihan raya kecil tersebut.
Pelantikan Anwar dilihat sebagai jalan tengah bagi menyatukan beberapa kelompok yang berbeza pandangan dalam KEADILAN.
Namun Langkah Kajang gagal apabila proses rayuan kes Anwar dipercepatkan dan beliau dipenjarakan selepas keputusan Mahkamah Rayuan.
Akhirnya, Azmin Ali dilantik sebagai Menteri Besar Selangor selepas namanya mendapat sokongan Hadi Awang.
PRK Port Dickson
- Selepas dibebaskan daripada penjara melalui pengampunan penuh, Anwar kembali layak bertanding dalam pilihan raya.
Namun, beliau memerlukan satu kerusi Parlimen yang dikosongkan untuk membolehkannya kembali ke Dewan Rakyat.

- Ketika itu memang wujud persefahaman dalam Pakatan Harapan bahawa Anwar akan mengambil alih jawatan Perdana Menteri daripada Tun Dr. Mahathir Mohamad pada masa yang dipersetujui.
Mengikut Perlembagaan, Perdana Menteri mestilah seorang Ahli Dewan Rakyat.
Oleh itu, apabila keadaan dianggap sesuai, kerusi Parlimen Port Dickson dikosongkan bagi memberi laluan kepada Anwar kembali ke Parlimen.
Kesimpulan
Sama ada seseorang bersetuju atau tidak dengan PRK Permatang Pauh, Kajang atau Port Dickson, ketiga-tiganya mempunyai tujuan politik yang jelas dan khusus — sama ada untuk membawa Anwar kembali ke Parlimen, menyelesaikan krisis kepimpinan negeri atau memenuhi pelan peralihan kuasa yang telah dipersetujui.
Sebaliknya, persoalan yang perlu dijawab oleh penyokong PRN Johor ialah: apakah keperluan mendesak yang menyebabkan DUN Johor dibubarkan sedangkan kerajaan negeri stabil, mempunyai majoriti kukuh dan masih berbaki kira-kira 10 bulan sebelum tamat penggal?
Terima kasih
Oleh Fairul al Qasas

No comments:
Post a Comment