“Hari pertama di Jepun, Anwar terus bincang Myanmar, Israel-Iran dan Palestin dengan Yohei Sasakawa”


 


Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, memulakan hari pertama lawatan rasminya ke Jepun dengan mengadakan pertemuan bersama sahabat lamanya yang juga Pengerusi Yayasan Keamanan Sasakawa, Tan Sri Yohei Sasakawa, bagi membincangkan pelbagai isu berkaitan keamanan, demokrasi dan pembangunan kepimpinan di Asia.

Anwar berkata, pertemuan itu turut mengimbau sejarah panjang kerjasama yang terjalin antara mereka sejak sekian lama, termasuk menerusi Forum 2000, sebuah platform yang diasaskan oleh bekas Presiden Czech, Václav Havel, yang menghimpunkan pemimpin, cendekiawan dan pemikir dunia untuk membincangkan isu demokrasi, hak asasi manusia, keamanan serta masa depan peradaban sejagat.

“Kami sempat menghimbau sejarah panjang kerjasama yang terjalin sejak sekian lama, termasuk menerusi Forum 2000 yang menghimpunkan pemimpin, cendekiawan dan pemikir dunia untuk membincangkan isu demokrasi, hak asasi manusia, keamanan dan masa depan peradaban sejagat,” katanya menerusi satu hantaran di media sosial.

Menurut beliau, kedua-dua mereka turut mengenang usaha memperkasa generasi muda Asia Tenggara melalui pelbagai program pembangunan kepimpinan yang berteraskan gagasan Asian Renaissance.

“Kami turut mengenang usaha memperkasa generasi muda Asia Tenggara menerusi pelbagai program pembangunan kepimpinan yang berpaksikan gagasan Asian Renaissance, bagi melahirkan pemimpin yang berakar pada nilai, budaya dan kemanusiaan,” katanya.

Anwar turut merakamkan penghargaan terhadap sumbangan besar Yohei Sasakawa dalam usaha kemanusiaan di peringkat antarabangsa sejak sekian lama.

Dalam pertemuan tersebut, kedua-dua tokoh itu juga bertukar pandangan mengenai beberapa krisis global yang semakin meruncing, termasuk situasi di Myanmar, konflik Israel-Iran, serta tragedi kemanusiaan yang berterusan di Palestin.

“Usaha keamanan harus terus disokong pimpinan dunia serta masyarakat antarabangsa. Keamanan yang berkekalan hanya dapat dicapai melalui dialog, persefahaman dan komitmen bersama untuk menegakkan keadilan,” kata Anwar.

Pertemuan itu menjadi acara pertama dalam jadual lawatan Perdana Menteri ke Jepun, yang dijangka memberi tumpuan kepada pengukuhan hubungan strategik Malaysia-Jepun serta kerjasama dalam pelbagai bidang termasuk ekonomi, keamanan dan pembangunan serantau.



No comments: