Jangan Guna Budak Sebagai Senjata Politik




PULAU PINANG 20 OKT : Pimpinan kerajaan Pulau Pinang mengecam tindakan blogger pro-Umno yang memfitnah anak remaja lelaki Lim Guan Eng sambil menyeru lawan politik mereka untuk hanya menumpukan serangan terhadap orang politik.

Timbalan Ketua Menteri II Dr P.Ramasamy berkata, kenyataan yang dilemparkan Presiden MCA Datuk Seri Chua Soi Lek baharu-baharu ini dengan mengatakan kejadian itu sebagai politik biasa di Malaysia adalah tidak wajar sama sekali.

"Bagaimana pemimpin MCA boleh berkata begitu kepada masyarakat Malaysia bila mana rakyat memandang dia sebagai seorang pemimpin. Jenis moral apakah itu? Dia sepatutnya memberitahu rakyat bahawa kita tidak sepatutnya menghukum seorang budak berusia 16 tahun. Kita perlu elakkan perkara begini. Pimpinan Umno boleh menentang kita, tetapi bukan seorang budak kecil," katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang II Datuk Mansor Othman dengan nada sinis berkata tindakan tersebut mencerminkan budaya politik
Umno-BN hari ini.

Tambahnya, adalah sesuatu yang memalukan kepada negara apabila kegilaan kuasa menyebabkan Umno sanggup melakukan apa sahaja untuk terus berkuasa.

"Mahatma Gandhi dalam salah satu politik beliau iaitu Gandhi Seven Deadly Sins telah menyebut Politics Without Principal yang ternyata diamalkan hari ini oleh Umno dan BN adalah politik tanpa prinsip apabila dengan sedar telah mengheret anak Lim Guan Eng ke kancah politik kotor mereka.

Ini menunjukkan betapa rendahnya etika politik kepimpinan Umno-BN yang sanggup menggunakan taktik politik kotor dalam usaha membunuh karier politik lawan mereka," jelasnya.

Bari-baru ini blog pro Umno mendakwa anak Ketua Menteri Pulau Pinang itu terlibat dalam serangan seksual terhadap seorang gadis yang berasal dari Hong Kong.

Lim telah menyangkal semua dakwaan itu termasuk tuduhan itu ditutup dengan RM200,000.

DAP hari ini mendedahkan gambar yang digunakan blog-blog pro Umno untuk melontarkan dakwaan mereka sebenarnya merupakan juara catur bernama Anya Sun Corke yang berusia 21 tahun.

Corke yang kini mewakili England tiada kaitan dengan Pulau Pinang dan tidak pernah belajar bersama dengan anak lelaki Lim di George Town.

Sebaliknya dia sedang mengikuti pengajian di Wellesley College, Amerika Syarikat.

Blogger pro Umno termasuk Ketua Umno Bukit Gelugor Dr Novandri Hasan Basri mendakwa anak lelaki Lim telah mengganggu rakan satu kelas yang berusia 16 tahun dan cuba mengelak hukuman dengan menggunakan nama bapanya.

Setiausaha Publisiti DAP Tony Pua menunjukkan paparan skrin dari blog Dr Novandri dan Papagomo dan dipadankan dengan gambar-gambar dari laman web www.chessbase.com