Khalid Samad: Pemimpin Pas Tidak Digalakkan Hadir Himpun

SHAH ALAM 21 Oktober : Pimpinan PAS tidak digalakkan untuk hadir ke Himpunan Sejuta Umat (HIMPUN) yang bakal berlangsung esok di Stadium Shah Alam bagi mengelakkan kekeliruan di kalangan masyarakat seolah-olah memberi tanggapan PAS menyertainya.

Timbalan Pesuruhjaya PAS II Selangor, Khalid Samad yang dihubungi TV Selangor menjelaskan bahawa tiada larangan secara khusus bagi ahli PAS untuk menyertai himpunan tersebut atas kapasiti individu.

"Tidak ada arahan untuk tidak hadir kecuali terhadap pemimpin-pemimpin parti dan pusat supaya tidak akan timbul kekeliruan seolah-olah kita menyertai program itu, kerana mereka itu dikenali sebagai pimpinan PAS dan kehadiran mereka akan memberikan pengesahan seolah-olah PAS menyertainya,"

"Pada dasarnya tiada larangan ahli PAS untuk hadir tetapi kalau tidak silap saya pimpinan utama tidak digalakkan untuk hadir kerana akan menimbulkan kekeliruan dari segi orang akan mengatakan bahawa itu adalah pimpinan PAS, maknanya PAS menyertai program tersebut sedangkan kita sudah menyatakan bahawa kita tidak menyertainya walaupun pada dasarnya untuk usaha pemantapan akidah itu disokong,"katanya.

Tambah Khalid lagi, PAS mengambil ketetapan untuk tidak hadir ke program tersebut bagi menghormati permintaan penganjur yang mengkehendaki program ini bebas daripada mana-mana pengaruh parti politik.

Terdahulu, PAS mencapai kata sepakat untuk tidak menyertai HIMPUN. Keputusan itu diputuskan dalam mesyuarat biro politik di pejabat agung PAS Selasa malam lalu.

Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata keputusan PAS bersikap berkecuali kerana menghormati kehendak penganjur program yang tidak mahu melibatkan mana-mana parti politik.

Menurut penganjur HIMPUN, yang merupakan badan bukan kerjaan (NGO) Islam, perhimpunan tersebut bertujuan menentang apa yang dikatakan percubaan untuk menyebar ajaran Kristian kepada orang Islam.

"Kita menghormati pihak penganjur yang ingin ianya tidak dipolitikkan dan tidak melibatkan parti-parti politik maka lajnah politik membuat keputusan kita tidak perlu menyertai."katanya.

Khalid juga menjelaskan bahawa himpunan itu dikhuatiri mempunyai agenda tersembunyi pihak-pihak tertentu khususnya untuk meraih sokongan politik dengan menggunakan taktik pecah dan perintah bagi menarik sokongan rakyat.

"Kita juga telah memberi penjelasan tentang kekhuatiran kita bahawa program yang seperti itu akan menghasilkan ketegangan di antara agama dan juga kaum di negara kita kerana dilihat seolah-olah bertujuan untuk mengumpulkan orang Islam bagi memberikan amaran kepada orang bukan Islam supaya jangan ganggu dan sebagainya dan pada saya tidak perlu diadakan program seperti itu."

" Ianya juga dikhuatirkan sebagai tindakan yang mempunyai agenda politik pihak yang tertentu walaupun ramai yang terlibat daripada kalangan orang yang ikhlas yang ingin menzahirkan kekhuatiran mereka terhadap berita yang telah disebarluaskan oleh pihak-pihak yang tertentu tetapi kita khuatir ada agenda politik disebaliknya yang bertujuan untuk pecah dan perintah rakyat Selangor."jelasnya.

Justeru,tambah Khalid perkara yang perlu diberi perhatian yang lebih besar ialah program pemantapan akidah dikalangan umat Islam diperhebatkan khususnya serangan akidah seperti isu sekularisme.

"Sedangkan masalah utama umat Islam di negara kita lebih banyak yang terlibat dalam kefahaman-kefahaman yang bercanggah dengan Islam seperti sekularisme,penolakan hukum-hakam Islam dan sebagainya dan bukan masalah kristananisasi sebab ia tidak begitu ramai dan ia bukan satu ancaman terbesar yang menimpa umat Islam buat masa kini,lebih serius lagi fahaman sekularisme dan sebagainya."jelasnya lagi.

No comments: