GEMPAR: Komplot larikan bekas Sultan Kelantan


Komplot larikan bekas Sultan Kelantan

05/10/2010 3:15pm

KOTA BHARU 5 Okt. - Istana Mahkota hari ini membuat satu laporan polis berhubung penerimaan khidmat pesanan ringkas (sms) mengatakan bekas Sultan Kelantan, Sultan Ismail Petra akan dibawa lari ke Thailand.

Laporan dibuat Pegawai Tentera Istana Mahkota, Zahari Bakri di Balai Polis Kubang Kerian kira-kira pukul 10.50 pagi tadi.

Zahari yang hadir bersama seorang kakitangan Istana Mahkota ketika ditemui pemberita berkata, beliau menerima satu SMS daripada individu yang tidak dikenali pada pukul 9.21 pagi, 21 September lepas memaklumkan ada pakatan jahat untuk membawa lari Sultan Ismail Petra melalui jalan darat ke Thailand.

Katanya, sms itu berbunyi: "salam, mohon kawalan ketat dan rapi di sempadan

(Kelantan-Thailand) ini kerana maklumat yang diperolehi ada pakatan jahat untuk membawa lari Sultan Ismail Petra melalui jalan darat ke Thailand.

“Minta dikeluarkan serta-merta arahan ini kepada semua yang bertugas di sempadan untuk bersiap sedia untuk menyekat niat jahat ini.

“Marilah kita berdoa semoga Sultan Ismail Petra selamat dari golongan yang zalim. Please take nec action. Apa yang mungkin berlaku mereka ini akan menjadikan kem tentera sebagai tempat untuk

berlindung. Elakkan dari perkara ini berlaku atau dituduh bersubahat."

Selain sms itu, katanya, beliau turut membaca satu laporan di sebuah laman blog 'The Kelantan Insider' pada 4 Oktober lalu yang bertajuk 'Posting 45: Sultan Ismail Petra akan dibawa lari ke Thailand?' - Bernama


The Kelantan Palace's Imbroglio

Sunday, October 3, 2010

POSTING 45: SULTAN ISMAIL PETRA AKAN DIBAWA LARI KE THAILAND?

Reactions:
1. Kami telah menerima maklumat terperinci dari sumber-sumber yang berwibawa mengenai perancangan pihak tertentu untuk membawa keluar secara sembunyi-sembunyi Duli Yang Maha Mulia Sultan Ismail Petra keluar dari Kelantan menuju ke Thailand melalui Takbai dan Pattani untuk bersemayam di sana.

2. Kami merasa amat bimbang jika perancangan ini, yang akan cuba dibuat di dalam masa terdekat ini, berjaya direalisasikan oleh pihak berkenaan maka ia akan mendatangkan kesan yang amat negatif ke atas kebajikan dan keselamatan Duli Yang Maha Mulia Sultan Ismail Petra yang masih di dalam keadaan gering.

3. Kami dengan ini menyeru pihak berkenaan supaya segera menghentikan usaha-usaha untuk terus mempergunakan Duli Yang Maha Mulia Sultan Ismail Petra untuk kepentingan diri sendiri, apatah lagi apabila usaha-usaha ini menjangkaui tahap membawa lari sekaligus memperjudikan kebajikan dan keselamatan Baginda.

4. Kami dengan ini juga menyeru pihak-pihak berkuasa supaya mengambil tindakan segera bagi memastikan perancangan untuk membawa keluar secara sembunyi-sembunyi Duli Yang Maha Mulia Sultan Ismail Petra keluar dari Kelantan menuju ke Thailand ini tidak terlaksana.

5. Kami memandang amat serius perkara ini kerana apabila sempadan negara telah diseberangi maka apa-apa sahaja perkara mungkin boleh berlaku kerana kita tidak lagi mempunyai sebarang kawalan ke atasnya. Cukuplah dengan hanya satu insiden yang menyayat hati itu sahaja.

6. Duli Yang Maha Mulia Sultan Ismail Petra bukanlah milik peribadi sesiapa sahaja tetapi Baginda adalah milik semua golongan rakyat yang masih tetap mengasihi Baginda seperti dahulu. Sebarang cubaan untuk memisahkan Baginda dari mereka adalah satu tindakan yang amat zalim.

7. Ingatlah, jika kita ditimpa kesusahan, Allah mengajar kita supaya tidak berputus asa daripada, malah supaya menaruh sepenuh harapan kepada, rahmat serta pertolongan-Nya (dan bukan supaya menaruh sepenuh harapan kepada rahmat serta pertolongan pihak-pihak lain!):

Firman Allah, mafhumnya: “Wahai anak-anakku! Pergilah dan intiplah khabar berita mengenai Yusuf dan saudaranya (Bunyamin), dan janganlah kamu berputus asa dari rahmat serta pertolongan Allah. Sesungguhnya tidak berputus asa dari rahmat dan pertolongan Allah itu melainkan kaum yang kafir.” (Surah Yusuf: Ayat 87)

Firman Allah, mafhumnya: Katakanlah (wahai Muhammad): “Wahai hamba-hambaku yang telah melampaui batas terhadap diri mereka sendiri (dengan perbuatan-perbuatan maksiat), janganlah kamu berputus asa daripada rahmat Allah, kerana sesungguhnya Allah mengampunkan segala dosa; sesungguhnya Dia-lah jua yang Amat Pengampun, lagi Amat Mengasihani.” (Surah al-Zumar: Ayat 53)

8. Sama-samalah kita berdoa ke hadrat Ilahi agar Duli Yang Maha Mulia Sultan Ismail Petra sentiasa berada di dalam peliharaan dan lindungan-Nya. Jauhkanlah Baginda, ya Allah, dari sebarang perbuatan zalim walau oleh mana-mana pihak sekali