Kempen bercorak permainan video dengan hanya berdurasi 44 saat menjadi antara kaedah mendekati pengundi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-16 terutama yang berada di luar negeri.
Pengarah Komunikasi AMANAH Khalid Samad menyifatkan bahan kempen dengan watak berimej antara orang nombor satu Parti Warisan Sabah (Warisan) dan BN itu sebagai menarik.
“Kaedah dan pendekatan yang menarik. Tahniah Warisan.
“Katak power lawan People’s power. Ayuh rakyat Sabah, balik mengundi lawan katak,” ciap Ahli Parlimen Shah Alam yang juga bekas Menteri Wilayah di Twitter.
Rakaman pertarungan dua pusingan itu antara Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dan Pengerusi BN Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin.
Sebelum memulakan permainan, terdapat dua pilihan tentang bantuan kepada Shafie menentang Bung demi Sabah.
Pilihan itu sama ada ‘Balik Undi’ atau ‘Let Katak Win’ yang kemudiannya menyaksikan Shafie dengan ungkapan ‘People’s Power’ berjaya menumbangkan Bung hingga ‘KO’ di akhir ‘permainan’ itu.
PRN Sabah kali ini menyaksikan sebanyak 73 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) akan dipertandingkan dengan jumlah keseluruhan pengundi 1.1 juta orang.
Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Abdul Ghani Salleh pada 12 September lalu menjangkakan 75 peratus dijangka keluar mengundi berbanding hanya 69 peratus sebelum ini.
Dilaporkan terdapat kira-kira 18 peratus atau lebih 200,000 pengundi Sabah berada di luar negeri pada masa ini.
Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong pada 18 September memberitahu jumlah penerbangan ke Sabah sudah ditingkatkan dan akan lebih banyak pada hari pengundian kelak.
Seramai 447 calon dari 16 parti dan 56 calon Bebas disahkan bertanding dengan DUN Bengkoka mencatat rekod persaingan terbanyak iaitu 11 penjuru.