Pindaan Undi Pos Dijadual Dibentang Oktober Depan


KUALA LUMPUR 25 OGOS : Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan hari ini bahawa ia berhasrat untuk menukar pengundi pos kepada 'pengundi awal', ekoran dakwaan berlaku penipuan undi menggunakan undi pos.

Bercakap kepada pemberita di Kuala Lumpur, pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Yusof berkata pindaan undang-undang itu diperlukan untuk membolehkan ia dirangka untuk pembentangan di sidang Parlimen Oktober ini.

"Hasrat kami adalah untuk mengubah status semua anggota polis dan Angkatan Tentera dan pasangan mereka,yang menjadi pengundi pos, kepada 'pengundi awal', yang boleh mengundi dua atau tiga hari sebelum hari mengundi," kata dipetik Malaysiakini Abdul Aziz.

Bagaimanapun, katanya, mereka yang bertugas jauh dari kem dan tidak boleh hadir untuk mengundi awal, masih boleh memohon menjadi pengundi pos.

Katanya, ini termasuk mereka yang bertugas di pos sempadan atau bertugas membuat rondaan di laut.

Bercakap dalam taklimat mengenai tuntutan BERSIH 2.0, Abdul Aziz berkata, dibandingkan dengan undi pos, pengundian awal adalah sama seperti pengundian biasa dan terbuka kepada penelitian ejen-ejen parti politik.