Ulama Punya Peranan Dalam Politik - PAS




SHAH ALAM 24 OGOS : Peranan golongan ulama dalam parti PAS dilihat penting bagi memastikan hala tuju dan matlamat dasar parti itu terpelihara dan tidak terpesong daripada landasan asal.

Ketua Penerangan PAS Pusat, Tuan Ibrahim Tuan Man menjelaskan, umum mengetahui perjuangan PAS adalah berpolitik berlandaskan syariat Islam dan menerapkan hukum hakam dalam setiap perlaksanaannya.

Justeru, PAS komited untuk melaksanakan pemerintahan Islam walaupun pada satu- satu masa, parti itu 'rugi' dari sudut politik.

"Dalam satu keadaan kita laksana pemerintahan, kita menang dari sudut dakwah, tetapi rugi dari sudut politik.

"Sebagai contoh, kita mengesa pusat judi dan hiburan ditutup, sudah pasti mereka yang kaki judi, kaki kelab malam tidak mengundi kita (PAS)," katanya.

Beliau berkata demikian dalam Majlis Wacana Sinar Harian siri ke 6 yang bertajuk 'Ulama Politik Untuk Dakwah Atau Parti?' di Auditorium Kompleks Kumpulan Media Karangkraf hari ini.

Tambah beliau, perkara ini jelas menunjukkan betapa PAS komited dalam menegakkan syiar Islam walaupun terpaksa berhadapan dengan risiko 'kerugian politik'.

Berbanding dengan Umno, PAS mempunyai Dewan Ulama dan Majlis Syura yang berperanan membantu parti dalam memastikan setiap perkara berkaitan Islam mengikut acuan tepat dan mudah difahami seluruh masyarakat.

Ia juga memartabatkan kedudukan para ulama dengan meletakkan pada kedudukan tertinggi.

"Mahu kita cadangkan kepada Umno, ianya ternyata suatu yang sukar, bagi saya mahu martabat ulama, ianya kan terlaksana sekirannya ulama itu berada dalam sebuah parti yang sememangnya mengiktiraf kedudukan mereka."

Dalam wacana yang sama, Ulama Muda Umno, Fathul Bari menjelaskan Umno memerlukan masa untuk parti itu mempunyai majlis ulamanya sendiri, dalam memberi nasihat berkaitan isu agama dalam politik.

"Sedia maklum semua pihak mengetahui bahawa Umno tidak ada badan ulama, mungkin Umno memerlukan masa untuk menubuhkan satu badan agam yang mampu memandu dan menegur politik dan pentadbiran mereka," katanya.

No comments: