Kredibiliti Anwar Dari Kandang Tertuduh Tidak Perlu Dipersoal - Wan Azizah



KUALA LUMPUR 25 OGOS : Hari ini masuk hari keempat perbicaraan kes fitnah liwat ke atas Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Jika semalam, pakar forensik dari Australia, David Wells selesai memberikan keterangan, hari ini seorang lagi pakar DNA, juga dari Australia mengambil tempat di kandang saksi.
Namun di sebalik perbicaraan yang sedang berlangsung, masih ada cakap-cakap dan pertikaian awam mengapa Anwar memilih untuk membela dirinya melalui kandang tertuduh, di mana pihak pendakwaan tidak boleh menyoal balas beliau.
Hakim Datuk Zabidin Mohd Diah sebelum ini menawarkan Anwar tiga pilihan iaitu beliau boleh berada di kandang saksi di mana pihak pendakwaan boleh menyoal balas beliau.
Kedua, memberi keterangan di kandang tertuduh di mana pihak pendakwaan tidak boleh menyoal balas tertuduh tetapi semasa membuat keputusan mahkamah boleh mengambil kira fakta yang pihak pendakwaan tidak memeriksa balas tertuduh.
Atau ketiga memilih untuk berdiam diri, iaitu tidak memberi sebarang keterangan.
Namun menurut seorang isteri yang sudah menempuh pahit maung arena politik negara selama puluhan tahun bersama Anwar, Datuk Seri Dr Wan Azizah Ismail cukup faham mengapa Anwar membuat pilihan kedua-iaitu membacakan keterangan dari kandang tertuduh dengan pendakwaraya tidak punya akses untuk menyoal balas suaminya itu.
Menurut Azizah, dalam hal ini bukan soal kredibiliti atau keberanian Anwar yang harus dipersoalkan, sebaliknya adakah sistem perundangan negara akan bersikap adil terhadap Anwar yang menjadi seteru politik pemerintah.
Umum mengetahui bahawa sistem kehakiman negara masih berada di bawah Jabatan Perdana Menteri iaitu di bawah mereka yang ada kepentingan politik dan tidak ada pemisahan kuasa di antara ‘legislatif, eksekutif dan kehakiman’.
Pemisahan kuasa yang tidak pernah berlaku menyebabkan berlaku kecelaruan sehingga undang-undang mudah dimanipulasi oleh pihak berkepentingan.
Justeru ujar Azizah, apa lagi yang boleh diharapkan pada sistem keadilan negara yang sudah tempang dan tergelincir dari landasannya itu.
"(Anwar) tidak sekali-sekali takut sebab masa kes pertama, beliau telah masuk ke kandang saksi dan telah memberikan keterangan.. tetapi memandangkan pengalaman beliau yang dahulu, dan melihat perjalanan kes mahkamah pada kali ini, kita mengambil keputusan bahawa kita mengikut seperti Presiden Nelson Mandela.
"Apabila mahkamah itu sendiri tidak memberi satu ruang yang seimbang dan adil, (orang) melihat berat sebelah apabila saudara Anwar memberikan satu kenyataan daripada kandang tertuduh, (tetapi) itu sebenarnya memberikan kita ruang untuk menerangkan (situasi sebenar)untuk pembelaan kita,"kata Azizah pada wawancara khas bersama Tv Selangor di kediamannya.

Anwar dalam keterangannya sebelum ini berkata, walaupun beliau sedia untuk memberi keterangan secara bersumpah (pendakwaan boleh menyoal balas), namun katanya cara pengendalian perbicaraan oleh hakim dan pendakwaan mewujudkan keadaan yang menyebabkan beliau tidak boleh berbuat demikian.
Tindakan hakim yang menyarankan kepada saksi berpotensi yang ditawarkan kepada peguam Anwar bahawa mereka boleh menolak untuk ditemubual juga menyebabkan Anwar mengambil pendekatan untuk membacakan keterangan dari kandang tertuduh.
Malah menurut Azizah, suasana politik di negara ini menyebabkan pendekatan Presiden Nelson Mandela dipilih oleh Anwar dan pasukan peguam bela untuk menangani kes fitnah liwat II yang dihadapi suaminya itu.
"Satu persatu memberi gambaran jelas sekarang ini.. kelihatan apa yang berlaku dalam kes ini adalah kes politik, jadi mestilah kita memberi gambaran dari aspek politik juga... walaupun ada asas kukuh dari segi undang-undang seperti kenyataan yang diberikan oleh Anwar,"jelas Azizah lagi.
Dalam pada itu, ketika diuja persoalan berhubung kekerapan penundaan dalam kes fitnah liwat II ini sehingga membayangkan kerumitan untuk Anwar Ibrahim membela diri dari difitnah dan menimbulkan pelbagai spekulasi awam, ini jawapan Azizah.
"(Penundaan) bukan disebabkan oleh kita (yang sengaja) hendak tundakan tetapi bila kita lihat, setiap kali kita hendakkan pembelaan, ruang pembelaan itu disekat dan itu menunjukkan bahawa ini mestilah dilihat dari perspektif bahawa mahkamah itu tidak adil.
"Apabila kita melihat sesuatu perkara itu tertunggak atau tidak, kita mesti hendak mencari keadilan dan seperti dalam kenyataan saudara Anwar Ibrahim, hak untuk membela diri mesti diberikan kepada seseorang tak kira mana-mana, tetapi setiap rakyat Malaysia mestilah diberikan peluang untuk membela diri,"katanya lagi.
Azizah yang juga Presiden Parti Keadilan Rakyat menambah, pendakwaan terpilih yang diamalkan juga menjadikan sistem pentadbiran negara kian songsang.
"Macam contoh katalah dalam kes Saiful (Bukhari Azlan) ini, dia telah menuduh tetapi dia diberi peluang dalam televisyen, dalam 'prime time' dan kenapa pula kes ini jadi begitu? Sebab kes ini adalah kes politik.
"Jadi kita mesti menangani dan menjawap apa yang telah digunakan melalui cara politik.. tetapi kita juga perlu menggunakan undang-undang yang kukuh,"tambah Azizah.
Anwar dipecat daripada jawatan timbalan perdana menteri dan timbalan presiden Umno pada September 1998.
Pemecatan ini dibuat apabila kes fitnah liwat pertama dihadapkan kepadanya.
Namun begitu, belum pun sedekad berlalu, kini serangan moral kali kedua dihadapkan ke atas beliau, dan kali ini melibatkan bekas pembantu peribadi kepada pemimpin pembangkang itu, Mohd Saiful Bukhari Azlan.
Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan isteri dilaporkan pernah bertemu dengan pengadu kes ini di kediaman rasmi mereka ketika Najib menjadi timbalan perdana menteri.
Mereka bertemu Saiful dua hari sebelum dakwaan berlakunya insiden liwat tersebut.
Sejak hari pertama lagi, Anwar bertegas bahawa beliau sekali lagi menjadi mangsa konspirasi politik ekoran menjadi seteru utama pentadbiran negara.