Polis Siasat Dakwaan Raja Petra


KUALA LUMPUR 18 April : Polis memanggil beberapa individu untuk memberi keterangan bagi membantu siasatan dakwaan Raja Petra Kamarudin mengenai pihak- pihak didakwa menyalur maklumat kepadanya supaya membuat akuan bersumpah (SD), mengaitkan Perdana Menteri dan isteri beliau dalam kes pembunuhan Altantuya Sharibbu.

Beberapa individu itu dipanggil selepas polis percaya mereka dapat membantu siasatan berhubung dakwaan pengendali portal Malaysia Today itu susulan kertas siasatan mengenainya dibuka sebaik laporan polis diterima minggu lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Bakri Zinin, bagaimanapun enggan mengesahkan sama ada mereka yang dipanggil termasuk Kolonel Azmi Zainal Abidin; penulis blog Din Merican serta dua lagi yang dinamakan Raja Petra iaitu Nik Azmi Nik Daud dan John Pang, masing-masing staf pejabat veteran politik Tengku Razaleigh Hamzah.

“Kita sudah memanggil individu yang dipercayai boleh membantu siasatan berhubung dakwaan berkenaan,” kata beliau dipetik Berita Harian hari ini.

Kelmarin, Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar mengesahkan polis sudah membuka kertas siasatan berhubung pendedahan Raja Petra mengenai beberapa individu yang mendesaknya membuat akuan bersumpah itu pada 18 Jun 2008 kerana tidak mahu Datuk Seri Najib Razak menjadi Perdana Menteri menggantikan Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Individu yang dimaksudkan Raja Petra baru-baru ini termasuk Azmi yang juga pegawai risik tentera selain tiga individu terbabit.

Dalam SD itu, Raja Petra mendakwa kononnya isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor berada di tempat kejadian ketika wanita Mongolia, Altantuya dibunuh.

Jumaat lalu, Panglima Angkatan Tentera, Jen Tan Sri Azizan Ariffin berkata, Angkatan Tentera Malaysia telah menggantung tugas rasmi Azmi yang juga pegawai kanan Markas Tentera Darat sehingga siasatan ke atasnya berhubung dakwaan Raja Petra itu selesai. -malaysianinsider