Hasrat Najib Bubar Parlimen Terencat, Kata Dr Xavier



SHAH ALAM 18 APRIL : ADUN Seri Andalas, Dr Xavier Jeyakumar menyifatkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sebagai tidak berani untuk mengadakan Pilihan Raya Umum(PRU) ke 13 nanti dalam jangka masa terdekat ini berikutan kehilangan 16 kerusi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak semalam.

Dr Xavier berkata, walaupun pembangkang gagal menafikan kebolehan BN Sarawak mendapat majoriti dua pertiga dalam pilihan raya negeri semalam, tetapi Pakatan Rakyat tetap berpuashati kerana undi popular BN telah merosot lapan peratus.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) juga menyatakan BN hanya berjaya merekodkan 372,379 undi atau 54.5 peratus daripada jumlah yang keluar mengundi semalam.

"Kejayaan Pakatan Rakyat memenangi 15 kerusi pada Pilihan Raya Sarawak ke 10 semalam sedikit sebanyak telah merencatkan hasrat Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak untuk mengadakan Pilihan Raya Umum ke 13 sekaligus membubarkan parlimen pada tahun ini," katanya.

"Berkemungkinan besar Najib juga akan meneliti semula beberapa faktor sebelum mahu mengadakan PRU Ke 13 dalam waktu terdekat," ujarnya.

Dr Xavier berkata demikian ketika mengulas tindakan Najib yang menjadikan keputusan pilihan raya negeri Sarawak sebagai kayu pengukur untuk beliau memutuskan sekarang adalah masa terbaik untuk mengadakan PRU di Majlis Perasmian Meletak Batu Asas di SJKT Ladang Midlands, Seksyen 7, Shah Alam.

Berdasarkan keputusan rasmi yang diumumkan SPR semalam, Pakatan Rakyat berjaya menambah bilangan kerusi berbanding pada pilihan raya negeri 2006 yang mana ketika itu BN memperoleh 63 kerusi.

Menurut SPR lagi, pihaknya juga turut mencatatkan jumlah perolehan undi parti itu untuk lima tahun lalu dimana perikatan itu menerima 62.91 peratus atau 341,587 undi dan 71.16 peratus dengan 382,137 undi pada 2001.

Manakala pada pilihan raya negeri Sarawak yang kesembilan dan kelapan pada tahun 2006 dan 2001 lalu, hanya 69 dan 43 kerusi disaingi selepas bakinya dimenangi BN tanpa saingan.

Pilihan Raya Negeri Sarawak ke 10 semalam menyaksikan kejayaan Pakatan Rakyat menambah lapan kerusi DUN walaupun BN berjaya mengekalkan dua pertiga majoriti dalam pilihan raya negeri itu selepas mememangi 55 daripada 71 kerusi yang dipertandingkan.

Awal bulan ini, Najib, yang juga Pengerusi BN, dilaporkan berkata bahawa beliau akan melihat dahulu keputusan pilihan raya negeri Sarawak sebelum membuat keputusan tentang waktu terbaik untuk mengadakan pilihan raya umum.

Terdapat juga spekulasi bahawa Najib mungkin membubarkan Parlimen tahun ini walaupun tempohnya hanya akan berakhir 2013.

Pilihan raya umum ke-12 telah diadakan pada Mac 2008.

No comments: