PSM Anjur Protes, Bantah Pembinaan Loji Proses Tanah

|



SHAH ALAM 18 APRIL : Parti sosialis Malaysia (PSM) akan mengadakan bantahan secara aman terhadap keputusan kerajaan persekutuan yang membenarkan pembinaan loji pemprosesan tanah jarang bernilai RM700 juta di Kuantan.
PSM bersama 14 badan bukan kerajaan lain akan berarak menuju ke bangunan Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar di Putrajaya bagi menggambarkan kekesalan selain mendesak keputusan pembinaan loji itu oleh syarikat Lynas Corp dari Australia itu dihentikan demi kepentingan masyarakat di negara ini.


Bantahan itu akan diadakan pada 22 April depan bersempena Hari Bumi.
Presiden PSM, Dr Mohd Nasir Hashim yang dihubungi Tv Selangor berkata, kebimbangan masyarakat di negara ini lebih menjurus kepada isu pengawalan yang belum meyakinkan.


"Ini adalah kumpulan NGO yang mahu bertemu untuk memberitahu bahawa 'jangan pergi kearah pendekatan nuklear' sebab kita tidak dapat menampung apabila berlakunya malapetaka," jelas beliau.
Dr Nasir membayangkan kegagalan penyeliaan bahan radioaktif akan memberi kesan kepada keselamatan penduduk setempat.


"Memang kita mahukan tenaga tapi kalau dari segi pengawalan sehingga Jepun tidak boleh. Kita dengan hanya teknologi biasa dan akan menggunakan wang yang banyak selain jika jadi sesuatu yang tidak dapat dikawal, kita seolah-olah pergi ke 'lautan bahaya'," jelasnya lagi.
Tv Selangor sebelum ini melaporkan, Ahli politik Australia mengutuk cadangan syarikat Lynas Advanced Materials Plant mahu membuang bahan radioaktif ke kawasan komuniti perikanan di Gebeng, Pahang.
Robin Chapple menegaskan kepimpinan Ketua Menteri Australia Barat, Barnett tidak harus bersubahat dalam membuang sisa radioaktif di negara lain, termasuk Malaysia.


Chapple yang juga ahli Majlis Perundangan Australia Barat berkata, pengendalian yang tidak betul akan menyebabkan penduduk sekitar akan mengalami radiasi yang diakibatkan oleh mineral thorium.
Beliau juga mengambil kira faktor geografi Gebeng yang terletak bersebelahan laut yang bersambung terus dengan sungai Balok, yang datangnya dari kawasan perindutrian menempatkan loji itu.
Gebeng juga terletak berhampiran dengan Cherating, sebuah kawasan perikanan.


Sebelum ini, Ahli Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh mendesak Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakub untuk menubuhkan badan bebas mengkaji impak radioaktif kepada persekitaran Gebeng.
Kebimbangan terhadap isu pembuangan sisa bahan radioaktif ini semakin menekan apabila kerajaan persekutuan pimpinan Perana Menteri Najib Razak meluluskan pembinaan loji tersebut.
Operasi memproses thorium dari lombong Mount Weld itu dijadualkan bermula September depan.

No comments: