Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik sedang meneliti cadangan yang dikemukakan Ketua Sosialis Muda DAP (DAPSY) Howard Lee kepadanya berkaitan isu matrikulasi.
Howard mengemukakan lima cadangan seperti berikut:
- Memohon Kementerian Pendidikan supaya menyelesaikan ketidaksamarataan yang besar dalam status quo di bawah sistem penapisan untuk Peperiksaan Matrikulasi, bagi memastikan peluang yang lebih adil untuk pelajar-pelajar STPM dan matrikulasi.
- Untuk menyelidik dan mengkaji semula sistem pengredan kokurikulum. Aktiviti kokurikulum bawah matrikulasi seharusnya mempungai nilai merit yang sama seperti STPM.
- Mempertimbangkan penyerapan tempat sebanyak 15,000 di Asasi-Asasi IPTA sedia ada sebagai sebahagian daripada program Matrikulasi. Tidak ada sebarang implikasi kos, isu staf akademik dan kemudahan prasarana.
- Mempertimbangkan kemasukan markah CGPA secara automatik bagi pelajar-pelajar STPM. Atau membuka 2,000 peluang kemasukan tambahan bagi 2,000 pelajar teratas mengikut markah CGPA tanpa kira kaum.
- Untuk menggabungkan peperiksaan, sebuah silibus dan sistem pengredan di antara STPM dan Matrikulasi diwujudkan menjelang 2020.
Cadangan-cadangan tersebut dikemukakan Adun Pasir Pinji itu dalam pertemuan yang berlangsung di pejabat Maszlee di Putrajaya beberapa minggu lalu.
Menurut Maszlee, beliau terbuka kepada sebarang cadangan bagi meningkatkan kualiti sistem pendidikan di Malaysia.
“Malah setiap cadangan yang diberikan oleh saudara YB Howard ini sedang diteliti dengan lebih lanjut oleh KPM.
“Perkara 1, 2 dan 5 misalnya sedang diusahakan pelaksanaannya. Manakala perkara 3 dan 4 sedang diperhalusi.
“Pandangan dengan idea konkrit dan bernas sudah tentu akan menggalakkan lebih banyak perbincangan bermanfaat untuk rakyat di negara ini dan usaha serta pemikiran rasional seperti saudara YB Howard akan membantu KPM memberikan yang terbaik buat semua anak-anak Malaysia,” ujarnya.
Katanya lagi, Howard juga tampil dengan penuh adab dan sopan semasa pertemuan empat mata tersebut.
“Saya amat meraikan gaya politik matang seperti yang ditunjukkan beliau,” ujar Maszlee.