Menteri Kewangan, Lim Guan Eng melakukan lawatan pertama ke Sandakan selepas Pakatan Harapan meraih kemenangan dalam pilihan raya kecil (PRK) pada 10 Mei lalu.
Dalam lawatan tersebut, beliau menyampaikan sumbangan dari kerajaan pusat berjumlah RM120,000 kepada 30 masjid dan surau serta rumah ibadat bukan Islam dalam kawasan Parlimen Sandakan bagi membantu menampung kos operasi mereka.
“Sumbangan ini menunjukkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) komited untuk mempertahankan hak kebebasan beragama seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan,” katanya seperti dipetik Bernama pada program penyampaian sumbangan tersebut yang turut dihadiri Ahli Parlimen Sandakan, Vivian Wong.
Guan Eng yang juga Setiausaha Agung DAP menjelaskan sumbangan itu diberikan supaya rakyat tidak tertunggu-tunggu bantuan yang dijanjikan memandangkan Vivian masih belum mengangkat sumpah sebagai wakil rakyat dan perlu mematuhi prosedur sebelum mengeluarkan sebarang peruntukan.
“Kami menyedari ada prosedur yang perlu dipatuhi bagi membolehkan Vivian dapat melaksanakan tanggungjawabnya kepada rakyat, antaranya peruntukan belum boleh disalurkan melaluinya selagi beliau belum mengangkat sumpah sebagai anggota Parlimen.
“Kami sedar beliau hanya akan mengangkat sumpah pada (sidang Dewan Rakyat) Julai depan. Jadi kehadiran saya membawa cek sumbangan kepada badan-badan agama adalah salah satu cara untuk memastikan rakyat tidak tertunggu-tunggu bantuan yang dijanjikan,” katanya.
Masjid dan surau menerima RM60,000, manakala Sandakan Inter Church, 22 tokong dan dua kuil serta tiga gereja masing-masing menerima RM30,000, RM26,000 dan RM4,000.
Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan turut menzahirkan tekad untuk menunaikan semua janji PRK Sandakan, termasuk projek pembangunan yang diluluskan dalam Belanjawan Negara 2019.
“Dengan adanya sokongan daripada rakyat dan kerjasama berterusan antara kerajaan negeri dan pusat, kita akan dapat melihat wajah baharu untuk Sandakan yang boleh menjadi sebuah bandar dinamik semula,” katanya.