Peneroka Kesal Ditipu Felda Selama 15 Tahun





TEMERLOH 17 JUN : 711 peneroka Felda Jengka Pahang nyata sekali ditindas oleh Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan atau Felda apabila agensi itu menyeleweng kadar perahan gred (KPG) yang sepatutnya diterima oleh peneroka.

Bahkan Felda yang sepatutnya membela nasib dan membantu peneroka, sebaliknya mengambil kesempatan di atas kepercayaan yang diberikan.

Tidak tahan terus dianiaya, para peneroka akhirnya tampil membela nasib mereka setelah mengalami kerugian RM344 juta sepanjang 15 tahun.

Beberapa peneroka yang ditemui TV Selangor melahirkan rasa tidak puas hati mereka terhadap Felda kerana telah menipu mereka sejak tahun 1995 lagi.

Menurut peneroka felda Jengka 13, Abd Ghani Aziz, beliau kini sudah tidak yakin terhadap Felda apabila secara jelas pihak tersebut mempermainkan warga Felda dengan mengambil kesempatan di atas kekuasaan yang dimiliki.

"Saya amat bersyukur kerana ada pihak yang membela, selama ini saya yakin dengan Felda tetapi di sebalik keyakinan itu mereka telah menipu kami walaupun ada sesetengah pihak yang berkata, pihak yang menuntut pembelaan ini mengambil kesempatan apabila mereka menjelaskan mengenai satu per satu penipuan yang dilakukan Felda,"katanya.

Bagi peneroka felda Jengka 6, Bostamin Bakar yang sudah menjadi peneroka sejak tahun 1974 pula berharap, perjuangan mereka ini akan memberi kesedaran kepada peneroka-peneroka Felda lain yang tidak sedar bahawa mereka telah ditipu.

"Alhamdulillah dengan tindakan berani peneroka yang bersama-sama menfailkan saman ini dan bermakna kita tahu perahan selama ini begitu rendah daripada apa yang kita hantar ke makmal dan menunjukkan ia lebih tinggi,"ujar beliau.

Tambahnya, meskipun beliau menyedari perjuangan yang dibawa dan diperkenalkan oleh bekas Perdana Menteri Malaysia yang kedua, Allahyarham Tun Abdul Razak, namun katanya pengganti-pengganti yang kini mentadbir Felda, jauh menyimpang dari tujuan asal penubuhan Felda.

Hari ini sekumpulan peneroka Felda tersebut telah mengemukakan saman berhubung dakwaan penipuan bayaran untuk hasil sawit yang melibatkan kerugian melebihi RM 344 juta sepanjang 15 tahun lamanya.

Saman yang difailkan oleh kumpulan peneroka ini menamakan Felda sebagai defendan pertama dan Felda Palm Industries sebagai defendan kedua atas dakwaan pecah amanah dan menipu.

No comments: