Tiada Paksaan Untuk Hafarizam Menghadap JKHK DUN Selangor




SHAH ALAM 24 APRIL : Kerajaan Negeri Selangor tidak akan memaksa Datuk Mohd Hafarizam Harun, peguam yang mewakili Adun Pelabuhan Klang Badrul Hisham Abdullah untuk menghadap Jawatankuasa Hak dan Kebebasan (JKHK) Dewan Negeri Selangor (DNS) pada 29 April ini.

Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata sebagai pengamal undang-undang, Mohd Hafarizam bebas untuk bercakap apa sahaja dan tahu menilai mana yang betul dalam sebarang tindakannya.

"Saya tidak mahu komen lanjut kerana seperti yang kita tahu Mohd Hafarizam ialah peguam UMNO dan beliau boleh cakap apa dia suka.

"Cuma apa yang kerajaan negeri tekankan ialah Mohd Hafarizam dan Badrul Hisham dihadapkan ke JKHK berhubung kesalahan menghina dewan negeri," katanya dalam sidang media selepas menghadiri Majlis Anugerah Pelajar Cemerlang di sini hari ini.

Abdul Khalid diminta mengulas mengenai keengganan Mohd Hafarizam untuk menghadap JKHK kerana menganggap arahan tersebut "terletak di luar peruntukan undang-undang".

Pada Jumaat lepas, Mohd Hafarizam berkata tindakan DUN Selangor itu adalah "penyalahgunaan kuasa oleh pihak tertentu dan tindakan menyaman beliau hadir menghadap JKHK adalah ugutan politik".

Beliau tidak teragak-agak mengambil tindakan undang-undang bagi menjaga hak dan kepentingan beliau sekiranya JKHK tidak menarik balik saman itu dengan serta-merta.

Pada 1 April lepas, Badrul Hisham dan Mohd Hafarizam dirujuk ke JKHK atas tuduhan mereka secara berasingan atau bersama melakukan kesalahan menghina dewan dengan menghantar sepucuk surat bertarikh 29 Mac lepas kepada Speaker Dewan Datuk Teng Chang Khim yang didakwa mengandungi bahasa yang amat tidak "senonoh, biadap dan mengugut".

Badrul Hisham bagaimanapun berkata beliau akan menghadap JKHK selepas dinasihatkan oleh peguam untuk berbuat demikian.

Ditanya mengenai dakwaan Mohd Hafarizam bahawa beliau menjadi mangsa penyalahgunaan kuasa oleh pihak tertentu, Abdul Khalid berkata hal lain tidak harus timbul kerana perkara utama dalam isu itu ialah kesalahan menghina DUN.

"Biarlah jawatankuasa ini tentukan apa yang berlaku dan tindakan seterusnya yang akan diambil," katanya.

Pada 18 Feb lepas, Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Zaleha Yusof memerintahkan Teng untuk menjelaskan kos sebanyak RM40,000 kerana tindakannya mengisytiharkan kerusi DUN Pelabuhan Klang kosong.

Hakim Zaleha membuat keputusan itu di dalam kamarnya setelah mendengar saman pemula yang difailkan oleh Badrul Hisham terhadap Teng.

Kontroversi kerusi Pelabuhan Klang timbul setelah Teng mengisytiharkan kerusi itu kosong pada 16 Jan lepas dengan mengatakan Badrul Hisham gagal menghadiri persidangan DUN selama enam bulan tanpa alasan munasabah.

No comments: