Azmin beri 48 jam kepada Timbalan Pengerusi SPR: "Jawab, atau letak jawatan!"

Timbalan Presiden PKR Azmin Ali memberi tempoh 48 jam kepada Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Wan Ahmad Wan Omar untuk menjawab tuduhannya bahawa SPR menipu dalam Daftar Pemilih Induk 2010 yang diwartakan pada Mei 2011.

Sambil menunjukkan salinan Daftar Pemilih terkini sehingga 30 September 2010, Azmin (gambar kanan) berkata terdapat 11 orang pengundi termasuk enam orang Melayu dan lima orang Cina didaftarkan dengan alamat Rumah 1E, Kampung Klang Gate, iaitu kediaman ibunya - yang tinggal berseorangan sejak kematian ayahandanya pada tahun 1999.

"Saya memberi tempoh 48 jam kepada Wan Ahmad Wan Omar, jawab, kalau tidak letak jawatan sebagai Timbalan Pengerusi SPR," tegasnya, sebelum berseloka, "Mungkin dia dengar ucapan saya 'anak Cina anak saya', dia masuk pengundi Cina dalam rumah ibu saya."

Azmin Ali juga merangkap jawatan Pengarah Pilihan Raya dalam PKR, dan beliau membuat aduan yang sama sebelum PRU pada tahun 2008. Bukan dengan itu sahaja, Azmin juga mengemukakan bagaimana 48 orang pengundi Cina dimasukkan ke dalam Daftar Pemilih untuk Kampung Klang Gate Baharu, sebuah kampung tradisional Melayu dengan 100% penghuninya berketurunan Melayu.

Malah, beliau mendedahkan bagaimana alamat palsu, bersifat pangsapuri (misalnya 22-5-14) wujud untuk Kampung Klang Gate yang tidak mempunyai bangunan tinggi.

"Wan Ahmad Wan Omar, kalau kamu berminat dengan politik, sila letak jawatan, ayuh mari bertanding dengan saya di parlimen Gombak dalam pilihan raya yang akan datang," sebelum beliau menambah, "Itupun kalau Presiden setuju saya menjadi calon. Saya pun tak tahu lagi sama ada saya jadi calon atau tidak."

Sebelum ini, Azmin menyelar kepincangan dan penyelewengan sistem pilihan raya, berkata, "Orang yang kotor tidak. Orang yang bersih tidak kotor. Orang yang menolak bersih maknanya orang itu kotor. Apabila Najib dan SPR menolak BERSIH, maknanya mereka adalah manusia yang paling kotor dalam negara ini."

"Apabila mereka tidak mahu dibersihkan, maknanya mereka ingin kekal dalam kekotoran. Hanya dengan sistem pilihan raya yang tempang dan kotor, UMNO akan terus menjamin kuasa mereka dalam negara ini,"katanya.

Malah, beliau mengambil kesempatan untuk menyindir Perdana Menteri Najib Razak (gambar kiri), dan isterinya, Rosmah Mansor, apabila berkata, "Hanya di Malaysia, bomoh digunakan untuk menetapkan tarikh pilihan raya."

"Di Indonesia, di Filipina, di Thailand, tiga tahun sebelum pilihan raya rakyat sudah tahu tarikh pilihan raya. Tetapi di Malaysia, hanya Najib, Rosmah, dan bomoh sahaja yang menentukan tarikh pilihan raya," katanya dalam Konvensyen Pilihan Raya PKR yang diadakan di Pusat Konvensyen Shah Alam, dihadiri kira-kira 4,000 orang, petang tadi.

PKR harap bertanding di kawasan campuran

Dalam sidang media yang diadakan selepas konvensyen tersebut, Azmin Ali menyatakan hasrat PKR untuk bertanding di kawasan campuran. Ketika diminta MerdekaReview untuk mengulas, beliau berkata, "Kalau kita tengok balik sejarah Barisan Alternatif dan juga Pakatan Rakyat, Keadilan diberikan tugas untuk bertanding di kawasan-kawasan campuran mulai tahun 1999. Dan kawasan-kawasan ini secara relatifnya memang kawasan-kawasan yang sukar. That's why itu kita kalah teruk (tahun) 1999 dan juga 2004."

"Tetapi kita terus bekerja, dan kita telah membuktikan kepada teman-teman Pakatan Rakyat bahawa kita telah mendapat sokongan yang baik di kawasan-kawasan campuran kerana keyakinan kita kepada gagasan baru yang menolak perkauman dan meneruskan perjuangan berasaskan keadilan sosial. Dan sekarang nampaknya rakyat mula menerima termasuk orang-orang Melayu. Maka kita ingin menegaskan bahawa kawasan-kawasan ini cukup sesuai untuk diwakili Keadilan dalam pilihan yang akan datang."

Apabila ditanya apakah PAS dan DAP meminta untuk bertanding di kawasan campuran yang dimaksudkan, Azmin (gambar kanan) menjawab, "Belum dibuat secara rasmi...". Wartawan menyusul dengan soalan "secara tidak rasmi?", Azmin hanya menjawab "Saya tidak pasti."

Dalam sidang media tersebut, Azmin Ali tidak menolak kemungkinan berlaku "swapping", iaitu pertukaran kawasan antara parti dalam Pakatan Rakyat, di kawasan yang belum dimenangi. Untuk kerusi yang telah dimenangi parti politik masing-masing, ia dijangka akan terus dipertanding parti yang menang di kawasan tersebut.

Ketika ditanya kawasan yang dimenangi calon PKR, tetapi wakil rakyat kemudiannya berpaling tadah - apakah kerusi ini akan diberi laluan oleh PAS dan DAP, agar PKR boleh bertanding semula, beliau menjawab, "Saya ingin menegaskan bahawa undi yang diperolehi oleh Keadilan bukan kerana calon yang berkenaan. Tetapi rakyat hari ini memilih untuk mempertahankan sistem dua parti. Maka mereka membuat keputusan sama ada (memilih) Barisan Nasional atau Pakatan Rakyat. Calon yang berkenaan walaupun datang daripada Keadilan, tapi mewakili Pakatan Rakyat."

"Dan kita nyatakan dengan tegas bahawa kerusi-kerusi itu dimenangi oleh Keadilan kerana rakyat yakin parti yang mampu membawa perubahan bukan individu yang berkenaan," Kata Azmin Ali ketika merujuk kepada sesetengah kerusi parlimen seperti Bayan Baru (Zahrain Hashim), Bandar Kulim Baharu (Zulkifli Noordin) dan sebagainya.

Apabila ditanya lagi sama ada PAS dan DAP sudi memberi laluan kepada PKR, Azmin berkata, "Saya bagi pihak parti mengatakan kita telah mengambil pendirian bahawa Keadilan akan terus mewakili kawasan-kawasan yang berkenaan, Keadilan! Kita akan letak calon yang terbaik kali ini."

Wartawan mendesak dengan soalan sama ada PAS dan DAP telah bersetuju dengan kenyataan di atas, Azmin Ali berkata, "Kita akan maklumkan kepada mereka, ini pendirian parti bahawa kemenangan dalam pilihan raya lepas bukan kerana individu berkenaan tetapi kerana Keadilan."

Sebelum ini, Azmin Ali dalam ucapan beliau menegaskan bagaimana Parti KeADILan berkembang dari sebuah parti politik yang tidak ditaruh harapan, kepada sebuah parti terbesar dalam PRU tahun 2008 dengan jumlah kerusi parlimen terbanyak dalam barisan pembangkang.

"Walaupun pada peringkat awa,l penganalisa politik melontarkan dakwaan bahawa parti ini tidak akan bertahan lama dengan gagasan yang berani ini. Tetapi Alhamdulillah setelah 12 tahun parti ini terus berkembang dengan pantas, maju dan mendapat sokongan rakyat pelbagai kaum di seluruh negara."

Beliau memberi stastitik, bagaimana Parti Keadilan Nasional yang bertanding pada tahun 1999, memperolehi 773,679 undi (11.67%), menurun kepada 617,518 undi (8.9%) pada tahun 2004, dan sokongan rakyat melonjak kepada 1,509,080 undi (18.58%) pada tahun 2008.

No comments:

(function() { var d = document, w = window; w

MALU APA BOSSKU : Najib 'tok dalang' SRC, Darurat ada udang sebalik batu, SKMM perlu tegas...