
Muhyiddin hadir pada perbicaraan kes menyalahgunakan kedudukan membabitkan suapan RM232.5 juta dan menerima wang RM200 juta hasil aktiviti haram di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.
KUALA LUMPUR, 28 Apr – Terdapat aliran wang yang besar dan kerap dibayar masuk ke dalam akaun Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pada 2021 hingga hujung 2022, menurut keterangan seorang saksi yang bekerja sebagai pegawai sebuah bank dalam perbicaraan membabitkan Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin.
Penolong Pengurus Cawangan Bank Muamalat Malaysia terletak di Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) Shah Alam, Norazeanti Miswan, 39, berkata sejumlah RM19.5 juta dimasukkan ke dalam akaun milik Bersatu melalui 29 transaksi yang dilakukan secara kerap dalam tempoh berkenaan.
Beliau menjelaskan, setiap transaksi membabitkan purata kemasukan cek antara RM500,000 hingga RM2 juta daripada sebuah syarikat.
Ketika menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin, Norazeanti berkata, transaksi pengeluaran itu adalah di luar kebiasaan dan beliau mengakui tidak pernah melihat jumlah pengeluaran sama dilakukan syarikat lain.
“Transaksi secara terus menerus daripada pihak sama adalah sesuatu yang mencurigakan kerana pemindahan wang seperti itu tidak pernah dibuat syarikat lain,” katanya pada hari keenam perbicaraan kes membabitkan bekas Perdana Menteri kelapan itu di sini hari ini.
Pada 7 Oktober tahun lalu, Jabatan Peguam Negara (AGC) menolak representasi bekas Muhyiddin untuk mengugurkan empat kes menggunakan kedudukan untuk suapan RM232.5 juta dan tiga pengubahan wang haram (AMLA) melibatkan wang RM200 juta, di Mahkamah Tinggi.
Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin berkata, AGC telah memperoleh representasi yang difailkan pembelaan bagi pihak Muhyiddin, 78, pada 19 Ogos lalu.
Muhyiddin didakwa telah menggunakan kedudukan untuk suapan wang berjumlah RM232.5 juta daripada Azman Yusoff, 51 dan tiga syarikat, Bukhary Equity Sdn Bhd, Nepturis Sdn Bhd serta Mamfor Sdn Bhd, bagi sekutu parti itu.

Kesalahan didakwa dilakukan di Pejabat Perdana Menteri, Bangunan Perdana Putra, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, di sini antara 1 Mac 2020 dan 20 Ogos 2021.
Kesemua pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum bawah Seksyen 24(1) akta sama.
Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan yang menjadi hal perkara kesalahan itu jika ia dapat dinilai atau berbentuk wang, atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.


No comments:
Post a Comment