Mana Sikana dinobat Sasterawan Negara ke-16


 




Mana Sikana dinobat Sasterawan Negara ke-16

Tokoh sastera tanah air, Abdul Rahman Napiah atau lebih dikenali sebagai Mana Sikana, diumumkan sebagai penerima Anugerah Sastera Negara ke-16, sekali gus dimasyhurkan sebagai Sasterawan Negara yang terbaharu.

Pengumuman itu dibuat dalam satu majlis rasmi hari ini oleh Menteri Pendidikan, Fadzlina Sidek, yang turut dihadiri Sasterawan Negara, Dr Anwar Riduan yang juga  Pengerusi Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka serta Ketua Pengarah DBP, Hazami Jahari.

Menurut kenyataan rasmi oleh Fadzlina, pemilihan Mana Sikana dibuat secara sebulat suara oleh panel penilai berdasarkan sumbangan cemerlang dan berterusan beliau dalam memperkaya khazanah kesusasteraan Melayu.

“Anugerah ini merupakan pengiktirafan tertinggi negara kepada tokoh sasterawan yang menulis dalam bahasa Melayu serta telah memberikan sumbangan besar dalam perkembangan kesusasteraan tanah air,” menurut kenyataan itu.

Panel penilai turut mengambil kira keunggulan karya kreatif Mana Sikana, kekuatan pemikiran yang dibawa dalam penulisan beliau serta peranannya dalam membina tradisi ilmu dan budaya bangsa melalui kesusasteraan bermutu tinggi.

Mana Sikana dikenali sebagai antara tokoh penting dalam dunia kritikan dan teori sastera tempatan, selain aktif menghasilkan pelbagai karya yang mencabar pemikiran serta memperkaya wacana intelektual dalam bahasa Melayu.

Penganugerahan itu mengangkat beliau sebagai antara barisan elit Sasterawan Negara yang telah memberi impak besar terhadap perkembangan sastera kebangsaan.

Anugerah Sastera Negara dianjurkan oleh kerajaan Malaysia melalui Dewan Bahasa dan Pustaka sebagai usaha berterusan untuk mengiktiraf serta memartabatkan sumbangan tokoh-tokoh sastera dalam membina jati diri dan pemikiran bangsa.


No comments: