Bergerak solo untungkah Umno? – Lokman Adam










 

Bergerak solo untungkah Umno? – Lokman Adam

Langkah Umno untuk bergerak secara solo dalam pilihan raya akan datang bukanlah jaminan kemenangan, malah berisiko mengheret parti itu ke kancah kekalahan lebih besar, kata Datuk Lokman Noor Adam.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno itu berkata, sentimen di peringkat akar umbi ketika ini menunjukkan sebahagian pengundi Melayu masih belum kembali menyokong Umno, sebaliknya kekal bersama Perikatan Nasional(PN).

“Kalau kita ambil jalan mudah, keluar daripada kerajaan dan bergerak solo, kita kena tanya diri sendiri, adakah undi Melayu yang sudah beralih itu akan kembali kepada Umno?

“Jawapannya belum tentu. Malah kemungkinan besar tidak,” katanya dalam satu kenyataan.

Lokman berkata, walaupun terdapat rasa tidak selesa dalam kalangan pengundi terhadap kerjasama antara Barisan Nasional dan Pakatan Harapan, kepimpinan parti tidak boleh membuat keputusan hanya berdasarkan sentimen semasa.

Menurutnya, faktor paling penting dalam menentukan sokongan pengundi ketika ini bukan lagi populariti individu calon, tetapi gabungan atau blok politik yang diwakili.

Beliau memberi contoh pertembungan antara Akmal Saleh(ketua pemuda Umno) dan Afnan Hamimi Taib(ahli parlimen Pas) yang menunjukkan bagaimana calon yang lebih popular tidak semestinya mampu menterjemah kepada kemenangan jika sentimen pengundi memihak kepada blok lawan.

Dalam tinjauan dua sosok ini menunjukkan Afnan lebih mendapat sokongan berbanding Akmal yang pada awalnya popular dalam pelbagai isu.

“Pengundi hari ini tengok kita bersama siapa, bukan sekadar siapa calon kita. Itu realiti yang kita kena terima,” katanya.

Dalam masa sama, Lokman berpandangan kerjasama berterusan antara BN dan PH berpotensi memberikan pulangan kerusi yang lebih besar kepada Umno sekiranya tiada gangguan politik dalam tempoh menjelang pilihan raya.

Katanya, berdasarkan pola sokongan semasa, Umno berpeluang menambah jumlah kerusi daripada sekitar 26 kepada kira-kira 40 hingga 50 kerusi sekiranya strategi kerjasama diperkukuh.

“Kalau kita kekalkan kestabilan, rapatkan saf antara BN dan PH, kita boleh manfaatkan sokongan bukan Melayu dan sebahagian pengundi moderat Melayu.

“Tetapi kalau kita ikut emosi dan buat keputusan drastik, bukan saja Umno berisiko, PH pun boleh tumbang. Akhirnya kita semua kembali ke titik asal selepas pilihan raya,” katanya.

Namun beliau mengakui pendekatan itu menuntut pengorbanan politik yang besar, termasuk mengekang ego parti dan menerima realiti landskap politik baharu yang lebih berasaskan gabungan.

“Ini bukan soal siapa lebih dominan, tetapi soal kelangsungan. Kita kena pilih sama ada mahu menang kerusi atau sekadar berpegang pada ego politik,” tambahnya.

Lokman turut mengingatkan bahawa kegagalan membuat keputusan strategik yang tepat boleh menyebabkan Umno terus berada pada tahap kerusi semasa atau hanya meningkat sedikit, tanpa mampu kembali sebagai kuasa dominan.

“Kalau kita silap langkah, kita mungkin kekal sekitar 26 hingga 30 kerusi sahaja. Itu bukan kebangkitan, itu sekadar bertahan,” katanya.



No comments: