1- Drama di Negeri Sembilan hari ini bukan sekadar percaturan kerusi, tetapi satu lagi siri "permainan selamat" atau playsafe peringkat nasional oleh UMNO. Sambil tersenyum di depan media, tangan di belakang sedang menyusun bidak catur.
2- Alasan kononnya penarikan sokongan terhadap MB Negeri Sembilan adalah demi menjaga "Adat dan Institusi Raja" hanyalah kosmetik politik yang murah. Rakyat tidak buta. Menggunakan nama Istana untuk menghalalkan cita-cita kuasa adalah taktik lama yang sudah basi.
3- Hakikatnya, alasan "Adat dan Raja" itu bersifat palsu. Umum mengetahui bahawa DNA politik sebahagian pimpinan UMNO sangat sinonim dengan ketamakan kuasa. Mereka bersedia melakukan khianat pada bila-bila masa, asalkan boleh kembali menjadi dominan.
4- Tidak kira kawan atau lawan, sesiapa sahaja boleh "disembelih" di tengah jalan. Sejarah membuktikan UMNO adalah pakar dalam seni pengkhianatan dalam kerajaan. Lihat sahaja bagaimana rakan gabungan sering menjadi mangsa sebaik sahaja mereka merasa kedudukan mereka terancam.
5- Di peringkat Persekutuan, Presiden cuba bermain watak suci. Kononnya ini adalah "kehendak pimpinan negeri" dan beliau hanya memerhati. Dan mencari ruang untuk menunding kepada Perikatan Nasional. Namun, sebagai Presiden yang memegang watak "General", mustahil perkara sebesar ini berlaku tanpa restu atau pengetahuan beliau.
6- Persoalannya, adakah Presiden bertindak merestui gerakan ini demi memastikan UMNO kembali menggenggam kuasa mutlak, atau beliau akan menggunakan kuasa nasihatnya untuk menghalang demi kestabilan negara? Jawapannya jelas, sejarah jarang menipu.
7- Isu ketidakstabilan politik Malaysia sejak sedekad lalu sering dikaitkan dengan "ghanimah" (rampasan kerusi kuasa) para pemimpin UMNO. Setiap kali ada peluang merebut kekuasaan, kepentingan rakyat dan kestabilan negara akan dicampak ke tepi.
8- Lihat apa yang berlaku di Melaka dahulu. Kerusi Ketua Menteri menjadi medan pertelingkahan sesama sendiri sehingga Sulaiman Ali terpaksa memberi laluan kepada Ab Rauf. Nafsu kuasa ini tidak pernah kenyang, walaupun perlu memakan kawan sendiri.
9- Sangat menyedihkan apabila kejatuhan UMNO dalam PRU lalu langsung tidak dijadikan pengajaran. Mereka lupa siapa yang sebenarnya menjatuhkan Najib Razak. Najib dipenjarakan ketika UMNO sendiri sedang memegang tampuk kepimpinan Perdana Menteri ! Kerana sebab itu apabila UMNO gagal dominasi kuasa pasca PRU 2018, orang yang di hubungi oleh Najib Razak meminta pandangan adalah Anwar Ibrahim.
10- Kini, mereka cuba bermain naratif "Titah Addendum" untuk menuding jari menyalahkan Pakatan Harapan dan PMX. Ini adalah taktik memindahkan beban kesalahan (shift blaming) yang sangat licik untuk menutup kegagalan dan pengkhianatan dalaman mereka sendiri.
11- Inilah barah dalam UMNO yang sukar diubah. Sikap khianat dan "tikam belakang" ini sudah menjadi budaya. Selagi budaya ini tidak dibuang dan selagi integriti tidak diletakkan di atas kepentingan kuasa, UMNO tidak akan pernah pulih di mata rakyat.
12- Amaran untuk rakan kolaborasi politik masa depan. Berhati-hatilah ! Jika hari ini mereka boleh mengkhianati perjanjian demi kuasa di Negeri Sembilan, tidak mustahil esok lusa mereka mensasar di peringkat nasional pula. Sekali pengkhianat, selamanya tidak boleh dipercayai !
Terbang kunang di tengah malam,
Terbang hinggap di tiang seri,
Tangan kanan ajak bersalam,
Apa maksud pisau di kiri ?
No comments:
Post a Comment