
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hadir pada majlis Pelancaran Pusat Inovasi & Makmal Al Huawei di The Exchange 106@TRX, Kuala Lumpur pada 27 April 2026. Foto PMO
KUALA LUMPUR, 27 Apr – Ura-ura Pilihan Raya Negeri (PRN) di Negeri Sembilan kononnya berkemungkinan diadakan, dilihat amat tipis walaupun berlaku ketidaktentuan politik di negeri itu, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Bagaimanapun, Perdana Menteri menjelaskan, ia bergantung kepada keputusan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir serta perjalanan persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN).

“Mungkin tidak (PRN diadakan). Ia bergantung… kerana ia terpulang kepada Tuanku dan sudah tentu kepada persidangan dewan,” katanya.
Turut hadir, Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil; Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar dan Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Datuk Johan Mahmood Merican.

Anwar yang juga Menteri Kewangan menjelaskan perkara itu selepas menghadiri mesyuarat tertutup bersama pengurusan tertinggi Huawei yang diadakan sempena pelancaran Makmal AI dan Pusat Inovasi Huawei, di sini, pada Isnin.
Jawapan itu sebagai maklum balas ketika ditanya sama ada PRN akan diadakan bagi menyelesaikan situasi berkenaan di Negeri Sembilan.

Perdana Menteri berkata, sebarang perkembangan berkaitan pentadbiran Negeri Sembilan akan diumumkan dalam masa terdekat.
Pada Isnin, Datuk Seri Aminuddin Harun menerusi sidang medianya menegaskan, beliau kekal sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan meskipun 14 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN) menarik sokongan terhadapnya.

Malah, kesemua empat jawatan Exco yang diperuntukkan kepada Umno kini kosong susulan penarikan sokongan berkenaan.
No comments:
Post a Comment