Apa sebenarnya Jalal mahu?’, Pengerusi UMNO Negeri Sembilan ini teruk kena kecam netizen


 

Apa sebenarnya Jalal mahu?’, Pengerusi UMNO Negeri Sembilan ini teruk kena kecam netizen

Tindakan Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias yang menarik sokongan terhadap Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun terus mengundang kecaman di media sosial.

Seorang pengguna Facebook, Mohd Zamri Rosli, secara terbuka mempersoalkan motif sebenar di sebalik langkah tersebut, yang disifatkan tidak konsisten dan sukar difahami.

Menurut anak jati Negeri Sembilan itu, alasan yang dikemukakan berhubung dakwaan Menteri Besar gagal mengurus adat dan perlembagaan negeri juga tidak meyakinkan.

“Kalau Menteri Besar tidak betul, kenapa Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan masih mengekalkan beliau untuk terus menjalankan tugas seperti biasa?” soalnya di ruangan komentar dalam satu hantaran Jalaluddin di Facebook hari ini.

Zamri turut membangkitkan persoalan sama ada tindakan menarik sokongan itu bertujuan mendesak agar keputusan tertentu dibuat terhadap institusi kepimpinan negeri, atau sekadar permainan politik semata-mata.

Beliau menegaskan bahawa Aminuddin sebelum ini telah menyatakan segala tindakan diambil adalah selaras dengan perlembagaan negeri, malah sudah menghadap Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan bagi menjelaskan keadaan semasa.

Tidak logik

Dalam masa sama, Zamri menyifatkan alasan yang diberikan Jalaluddin sebagai tidak logik, selain menuntut penjelasan lebih jelas mengenai hala tuju sebenar tindakan tersebut.

Apo nawaitu sebonar ekau (Jalaluddin) nak tarik sokongan kat kerajaan Nismilan?

“Kalau setakat cakap MB tak pandai urus adat dan perlembagaan negeri tu, den tak percayo doh.

“Sebab Tok Min (Aminuddin) dah cakap semuo dio ikot perlembagaan negeri dan Tok Min dah menghadap Duli Yamtuan.

“Tok Min pun redho kalau takdo rezeki sebagai MB. Dio serah pada Allah Yang Maha Kuaso,” katanya yang meraih ratusan tanda ‘suka’ kalangan netizen lain.

Nada sama disuarakan Hanif Ahmad yang mempersoalkan kewajaran Jalaluddin untuk menghadap Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir selepas mengumumkan penarikan sokongan terhadap Tok Min.

“Tok Min sebelum ini mempertahankan Yang Dipertuan Besar kerana didakwa dipecat secara tidak sah. Namun akhirnya, kamu (Jalaluddin) pula menarik sokongan untuk menjatuhkan Tok Min.

“Selepas itu, kamu mahu menghadap Yang Dipertuan Besar untuk menjadi Menteri Besar?

“Sia-sia saja kena ludah nanti depan istana.. kerja gila.. Kamu ni tiada penasihat ke?” tempelaknya lagi.

Terdahulu, Jalaluddin yang juga Pengerusi BN Negeri Sembilan berkata, pihaknya sudah menghantar permohonan untuk mengadap Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir bagi memaklumkan mengenai penarikan sokongan terhadap Menteri Besar, petang semalam.

Dalam sidang media di Wisma UMNO Negeri Sembilan sama hari ini, ADUN Pertang yang juga Exco kanan itu menafikan bahawa dirinya mahu menjadi Menteri Besar susulan tindakan Barisan Nasional (BN) menarik sokongan terhadap pimpinan Aminuddin.



No comments: