Perpaduan umat Islam bukan lagi sekadar pilihan?


 


Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa perpaduan umat Islam kini menjadi satu keperluan mendesak dalam menghadapi ketidaktentuan global yang semakin meruncing.

Beliau berkata, dunia ketika ini berdepan tekanan ekonomi yang semakin mencabar, diperburuk oleh ketegangan geopolitik yang memberi kesan langsung kepada kestabilan negara.

Berucap pada Forum Ilmuwan Malaysia MADANI Siri 11, Anwar menekankan bahawa kerajaan perlu kekal tangkas dan responsif dalam mengurus risiko jangka pendek, selain merangka dasar jangka panjang yang mampan.

“Sebahagian tekanan berada di luar kawalan kita, namun kerajaan mesti berpandangan jauh dalam menentukan hala tuju ekonomi negara,” katanya.

Menurut beliau, kerajaan setakat ini masih berupaya mengekang kenaikan harga bahan api domestik, dengan RON95 kekal antara yang terendah di dunia.

Bagaimanapun, katanya, langkah itu menuntut komitmen fiskal yang besar dan perlu dinilai secara berhemah bagi menjamin kelangsungan jangka sederhana dan panjang.

Dalam masa sama, Anwar menegaskan bahawa dalam dunia yang bergelora dengan krisis geopolitik, perpaduan umat Islam tidak lagi boleh dianggap sebagai pilihan.

“Kekuatan kita terletak pada kesatuan yang berteraskan prinsip, berpaksikan keadilan dan nilai kemanusiaan sejagat,”katanya.

Beliau menambah, setiap dasar dan tindakan perlu menjurus kepada usaha menentang penindasan serta mempertahankan hak golongan yang dizalimi, khususnya rakyat Palestin.

Kerajaan, katanya, akan terus memastikan pendekatan Malaysia MADANI menjadi teras dalam menangani cabaran ekonomi dan geopolitik semasa


No comments: