MUHYIDDIN SELESAI MENGADAP YDP AGONG

 

Perdana Menteri selesai menghadap Agong dalam pertemuan lebih sejam



KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin selesai menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara jam 8.56 pagi, di sini, hari ini.

Pertemuan Perdana Menteri yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu (Bersatu) dengan Al-Sultan Abdullah berlangsung selama lebih sejam.

Terdahulu, Muhyiddin menjadi ketua parti pertama menghadap Yang di-Pertuan Agong selepas tiba di Istana Negara pada pukul 7.50 pagi.


Bagaimanapun, seperti mana sebelum ini, ia menjadi rutin mingguan bagi Perdana Menteri untuk menyembah maklum kepada Seri Paduka Baginda mengenai pentadbiran kerajaan dan situasi semasa negara sebelum mesyuarat Kabinet diadakan pada Rabu.
Beberapa siri pertemuan ketua-ketua parti politik dengan Al-Sultan Abdullah dijangka diadakan secara berasingan di Istana Negara bermula hari ini.
Antara pemimpin yang telah mengesahkan kehadiran ialah Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dijadual pada pukul 10 pagi ini.
Selain itu, turut mengesahkan menerima perkenan menghadap ialah parti DAP, yang akan diwakili oleh setiausahanya Lim Guan Eng pada sebelah petang.
Difahamkan, Parti Amanah Negara (Amanah) yang akan diwakili Presidennya, Mohamad Sabu akan turut mengadakan pertemuan hari ini.
Setakat ini, UMNO masih belum mengesahkan sesi pertemuan dengan Seri Paduka Baginda.

Dalam perkembangan sama, parti yang masih dalam proses pendaftaran Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) turut mengesahkan menerima surat dipanggil menghadap Yang Di-Pertuan Agong di Istana Negara pada Khamis.