KALAU MAHIADDIN TERUS LAGI JADI PM, NEGARA AKAN TERUS HURU-HARA & LINTANG-PUKANG SEPERTI YANG ADA SEKARANG

 

Hampir semua ketua parti kini difahamkan telah pun menerima jemputan untuk mengadap Yang Dipertuan Agong yang dijadualkan bermula hari ini hingga lusa.

Walaupun difahamkan pertemuan baginda dengan ketua-ketua parti itu adalah khusus untuk mendengar pandangan berkenaan krisis Covid19 dan darurat, tetapi ada juga laporan mengatakan ia mungkin turut menyentuh berkaitan politik semasa negara.

Hal berkaitan politik semasa negara, jika ingin disentuh, selain tentunya juga berkait rapat dengan Covid19 dan darurat, pasti saja tidak boleh lari daripada kedudukan kerajaan sekarang yang tidak stabil dan keperluan membentuk kerajaan baru atau setidak-tidaknya sebuah kerajaan perpaduan yang mewakili semua parti brrdaftar.

Realitinya, baik untuk menangani Covid19, darurat atau masa depan negara, kerajaan PN pimpinan Mahiaddin Md Yasin ini sudah dikira gagal dan hilang kemampuannya.

Ia bukan gagal biasa-biasa, tetapi gagal paling teruk sekali dan kalau ia kereta, ia dikira total loss yang sudah wajib dicampak ke kilang besi buruk.

Jangankan mahu mengurus Covid19, PKP dan vaksin, kerajaan dan menteri-menteri PN malah gagal dalam mematuhi SOP dan menjaga kestabilan harga minyak masak sekali pun.

Kerajaan yang diterajui PN ini bukan saja gagal kalau dibandingkan dengan negara-negara maju atau membangun yang lain dalam mengurus Covid19, bahkan turut ketinggalan berbanding negara seperti Vietnam misalnya.

Kegagalan kerajaan PN tidak saja dalam melaksanakan PKP sehingga ia berulang-ulang dan berpanjangan tanpa kesudahan, bahkan turut gagal mengurus pemberian vaksin di sebalik peruntukan besar telah disediakan untuknya.

Kekecewaan Sultan Selangor semalam berkaitan pemberian vaksin adalah jelas gambaran kegagalan kerajaan PN yang tidak boleh dikompromi lagi.

Maka itu, walaupun sukar untuk mengharap secara berlebihan kemungkinan sesuatu yang positif dan drastik bakal muncul selepas pertemuan ketua-ketua parti dengan Agong nanti, tetapi peluang terbuka ini haruslah sebaik-baiknya.

Peluang seperti ini mungkin tidak berlaku lagi selepas ini.

Ia bukan saja merupakan peluang terbuka untuk ketua-ketua parti berterus-terang, jujur dan ikhlas dalam memberi pandangan kepada Agong, khusus tentang kegagalan kerajaan PN dan ketidakmampuan Mahiaddin, tidak kurang pentingnya ialah Istana Negara juga harus melihat inilah juga peluang mereka sebagai payung negara untuk memulihkan keadaan menjadi lebih baik.

Maksud mudahnya, selepas pertemuan dengan ketua-ketua parti nanti, kemudian disusuli pula dengan mesyuarat khas Majlis Raja-Raja yang difahamkan pada 16 Jun, adalah sangat penting agar terhasil sesuatu perubahan yang boleh melega dan menggembirakan rakyat, kalau pun tidak secara keseluruhan, sekurang-kurangnya buat kelompok majoriti rakyat negara ini.

Keadaan negara, huru-hara dan lintang-pukangnya yang ada sekarang, disertai dengan resah dan gelisah rakyat yang sudah sekian lama panjangnya membelenggu mereka, tidak akan berubah apa-apa jika Mahiaddin kekal lagi sebagai Perdana Menteri selepas ini.

Mahiaddin dan PN sudah gagal, bahkan kegagalannya tidak mungkin dapat diperbaiki atau dipulihkan lagi.

Untuk itu, mahu tidak mahu dan walaupun terlihat sukar kemungkinannya menjadi kenyataan, membiarkan lagi Mahiaddin dan PN yang gagal ini untuk mengurus negara ini bukanlah suatu pilihan.

Sama ada ruang harus diberi untuk membentuk kerajaan baru atau kerajaan perpaduan atau menetapkan suatu tempoh tertentu selepas Covid19 reda untuk diadakan PRU15 bagi rakyat memilih kerajaan baru yang benar-besar ada keabsahannya, itulah antara pilihan yang terbaik buat ketika ini.

Lalu, siapa yang harus jadi kerajaan sementara atau interim?

Berdasarkan kedudukan jumlah Ahli Parlimen yang dimiliki, disertai gandingan tokoh-tokoh berkemampuan yang ada di dalamnya, gandingan PH dengan UMNO adalah paling munasabah sekali diberi mandat mengurus negara ini secara sementara sebelum PRU15 bagi menggantikan PN yang gagal teruk sejak lebih setahun yang lalu.

Gandingan itu bukan saja menyerlahkan majoriti yang tidak boleh dipertikaikan keabsahannya, lebih penting ia juga adalah gambaran sebenar kemajmukan Malaysia yang mampu memberi kestabilan dan keamanan. 

(ShahbudinHusin 09/06/2021)