Strategi lebih segar diperlukan untuk bantu golongan ‘jatuh miskin’


Pembangunan perusahaan sosial dan koperasi akan mendorong semangat keusahawanan dan dapat mendukung perniagaan kecil yang dimulakan individu dalam kategori miskin, kata James Raj dari KRPPM.

PETALING JAYA: Pakar berkaitan isu kemiskinan menyeru agar strategi jangka panjang dirangka bagi membantu mereka yang baru “jatuh miskin” akibat kesan wabak Covid-19.

Penyelidik kemiskinan dan anggota Kumpulan Rentas Parti Parlimen Malaysia (KRPPM) mengenai matlamat pembangunan lestari James Raj berkata, wabak telah menyebabkan ramai dalam golongan B40 menjadi lebih miskin, dan sebilangan daripada kelompok M40 jatuh ke tahap lebih rendah.

“Mereka tidak boleh dibiarkan jatuh dan mereka harus mampu bangunkan kembali kehidupan,” katanya kepada FMT.

Beliau berkata, kumpulan itu perlu menjalani program kemahiran semula dan diberi pekerjaan sehingga mereka dapat bangun kembali.

Tambahnya, pendekatan bagi mengurangkan kemiskinan juga akan membantu yang lain dalam komuniti miskin mengubah keadaan mereka dengan lebih berkesan berbanding bantuan tunai.

Katanya, bantuan tunai dan moratorium pinjaman sebagai “langkah penyelesaian” tidak akan mengatasi masalah jangka panjang dan tidak akan mengangkat rakyat ke tahap sosio-ekonomi yang lebih tinggi.

“Kita menangani keperluan ketika ini, tetapi sebenarnya tidak membantu mereka meningkatkan keupayaan, yang diakui lebih sukar dilakukan.

“Rakyat boleh bergantung kepada bantuan dan tidak akan terlepas daripada kitaran kemiskinan.

“Jika suami dan isteri miskin dan anda memberi mereka wang serta makanan tetapi tidak meningkatkan pengetahuan dan latihan mereka, anak-anak mereka juga akhirnya akan menjadi miskin,” katanya.

Beliau menyarankan pembangunan perusahaan sosial dan koperasi yang akan mendorong semangat keusahawanan dan dapat mendukung perniagaan kecil yang dimulakan individu dalam kategori miskin.

“Anda boleh menubuhkan dapur komuniti bagi membolehkan mereka membuat makanan untuk dijual atau menyediakan platform untuk membantu mereka memasarkan hasil tangan.

“Ini mendorong mereka belajar kemahiran baharu dan mengembalikan maruah mereka kerana mampu menjana pendapatan,” katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Pendidikan Pasaran (CME) Carmelo Ferlito berkata, strategi seperti itu terbukti berkesan di sebilangan negara.

Beliau berkata, bantuan sosial perlu selalu dirancang dengan matlamat di mana penerima tidak lagi memerlukan bantuan.

“Di India, mereka melihat usahawan berpendapatan rendah yang mengembangkan perniagaan sendiri dan menjadikannya komersial.

“Mereka ini didapati mampu membina jaringan tempatan dan menggunakan sumber dengan cara yang inovatif,” kata beliau.

Beliau juga menyebut syarikat tenaga bersih yang melibatkan diri dengan komuniti miskin di Bangladesh, India dan Kemboja mendapati bahawa rakyat di negara itu dapat menggabungkan produk dengan berkesan ke dalam ekosistem sedia ada dan mengembangkan sistem bayaran yang sesuai dengan keperluan komuniti mereka.

“Ini mewujudkan aktiviti keusahawanan mikro, menghasilkan pekerjaan bagi penduduk setempat dan meningkatkan taraf hidup,” tambah beliau.

Lebih daripada itu, katanya, kerajaan harus bekerjasama dengan sektor swasta untuk menawarkan latihan profesional bagi mempersiapkan mereka yang baru jatuh miskin untuk kembali menceburi pasaran kerja.

No comments: