20 persoalan berkaitan PKP Penuh

 

Oleh B. Suffian

Ahli Parlimen Bangi, Dr. Ong Kian Ming menyenaraikan 20 isu yang masih belum terjawab selepas seminggu negara di bawah perintah kawalan pergerakan (PKP) Penuh. 

Dalam satu kenyataan kelmarin, mantan timbalan menteri itu berkata, 20 isu itu adalah: 

1. Kita masih belum ada senarai menyeluruh mengenai kementerian mana yang bertanggungjawab ke atas satu-satu sektor atau industri.

2. Kita masih tidak tahu sama ada restoran dibenarkan untuk beroperasi sekiranya mereka belum menerima surat kebenaran daripada Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI). 

3.Kita tidak tahu sama ada penjaja di tepi jalan yang menjual makanan dan minuman dibenarkan untuk terus beroperasi tanpa surat kebenaran daripada MITI.

4. Kita tidak tahu apakah kriteria yang digunakan untuk melarang penjualan alkohol tetapi membenarkan penjualan rokok.

5. Kita masih belum tahu sama ada bengkel kereta / automotif dibenarkan untuk beroperasi sekiranya mereka belum mendapat surat kebenaran daripada MITI.

6.Kita tidak tahu sama ada mereka yang berada dalam sektor perdagangan pengedaran dan pengedar perkhidmatan penting dibenarkan untuk beroperasi dan dari Kementerian manakah yang mereka perlu dapat kebenaran untuk beroperasi.

7.Kita tidak tahu sama ada kerja-kerja penyelenggaraan dan baik pulih penghawa dingin dibenarkan untuk beroperasi dan daripada Kementerian mana yang mereka perlu mohon kebenaran.

8.Kita tidak tahu sama ada tukang paip dibenarkan untuk beroperasi dan daripada Kementerian mana yang mereka perlu mohon kebenaran.

9.Kita tidak tahu sama ada mereka yang menjalankan perkhidmatan menyelenggara mesin fotostat dan mesin cetak dibenarkan beroperasi dan daripada Kementerian mana yang mereka perlu mohon kebenaran untuk beroperasi.

10.Kita masih tidak tahu apakah kriteria yang digunakan untuk meluluskan atau menolak permohonan mereka yang berada dalam rantaian bekalan perkhidmatan penting.

11.Kita tidak tahu bagaimanakah proses pembelajaran atas talian dapat dijalankan apabila kedai telekomunikasi dan bahagian alat tulis di pasaraya ditutup.

12.Kita tidak tahu bagaimanakah orang hendak bekerja dari rumah (BDR) sekiranya komputer riba atau telefon mereka rosak sedangkan kedai IT dan telefon bimbit ditutup.

13.Kita tidak tahu bagaimana mereka yang bergantung kepada Rawatan Tradisional Cina boleh terus mendapatkan rawatan mereka.

14.Kita tidak tahu mengapa pewarna rambut tidak dibenarkan untuk dijual di farmasi.

15.Kita tidak tahu mengapa bahagian penambahbaikan rumah di sesetengah kedai ditutup.

16.Bagaimanakah orang hendak memasak di rumah sekiranya perkakasan (seperti periuk nasi dan cerek) mereka rosak, memandangkan kedai barangan elektrik tidak dibuka dan bahagian perkakasan elektrik di pasaraya juga ditutup.

17.Kita tidak tahu bagaimana syarikat yang bukan berada dalam sektor penting boleh terus menjaga pusat data mereka sekiranya berlaku kecemasan.

18.Kita tidak faham mengapa sesetengah syarikat diberikan surat kelulusan oleh MITI tetapi apabila kod QR mereka diimbas oleh pihak polis, butirannya menunjukkan yang syarikat ini berada dalam industri tidak penting.

19.Kita masih tidak dapat memahami mengapa aktiviti jogging dibenarkan tetapi aktiviti berbasikal dilarang.

20.Kita masih belum dapat mendengar taklimat sidang media bersama mengenai sektor-sektor di bawah bidang kuasa daripada menteri-menteri berikut — MITI, Hal Ehwal Dalam Negeri, Perdagangan Dalam Negeri, Komunikasi dan Multimedia, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (antara beberapa yang dinamakan).

Baca kenyataan penuh DI SINI