Kalau pasal berdolak-dalik, berdalil dan berfatwa politik, saya
tabik spring kepada Pas. Apabila menguntungkan, tidak ada apa yang haram tapi
kalau merugikan, semua haram. Oghang Kedah kata, pasai pa hang pi dok caghi
bala jengok-jengok kegheta Fod Renja masa singgah Jughu beli nasik kandaq
Pelita?
Bila Mahiaddin Md. Yasin rampas kuasa daripada Pakatan Harapan
(PH), Presiden Pas Abdul Hadi Awang kata kerajaan tebuk atap. Tapi bila
dilantik jadi Duta Khas bertaraf menteri dia suruh kakitangan awam berhenti kalau
tidak selesa dengan kerajaan. Sekarang khabarnya dia terlantar di Insitut
Jantung Negara (IJN). Moga-moga segala-galanya dipermudahkan.
Dua, tiga hari lepas, Setiausaha Agongnya, Takiyuddin Hassan
pula kata, kerjasama Pas-Umno dalam Muafakat Nasional (MN) adalah ibarat
adik-beradik sedarah sedaging manakala hubungan dengan Bersatu merupakan
adik-beradik sesusuan. Dulu kata Umno “kafir” dan Bersatu khadam DAP.
Kalau pasal bercakap, Pas “nombor one”. Tapi minta maaflah kalau
saya kata, sesetengah pemimpin Pas ini macam rusa masuk kampung bila dapat
kuasa. Dia tak tahu apa nak buat. Kalau setakat makan pucuk ubi atau minum air
tak apalah. Tapi kalau kerbau, lembu dan kambing betina pun hendak dicabul
susahlah sikit pasal Pas ni Parti Islam.
Tapi nampaknya selera dan nafsu pemimpin Pas
hebat
. Kereta hendak yang mewah saja. Tak kira hasil negeri tak cukup
dan banyak rakyat jelata papa kedana. Kalau wanita pula mesti kategori artiste
dan jelitawan. Nampak sangat mereka sedang mabuk dibuai hedonisme ala Melayu
Baru.
Undang-undang pun tak berapa hormat sampai ada yang kena denda
tak ikut SOP Covid-19. Yang terbaru kena tahan di sekatan jalan raya khabarnya
cuba merentas sempadan negeri. Polis Terengganu sahkan yang pemimpin Pas
berpangkat Menteri diperiksa di SJR. Menteri kontroversi itu kemudian ancam
akan saman polis pasal dedahkan identiti dia. Realitinya polis tak dedah pun
orang ramai dah tahu.
Oleh kerana guna label agama tapi selera dan nafsu rakus, buat
apa pun tak kena. Masa bersekedudukan dengan DAP dalam Pakatan Rakyat (PR)
dituduh jadi alat kepada kafir. Bila bersama kerajaan PN dituduh halalkan arak
dan judi.
Sama ada Abdul Hadi berpelukan dengan Lim Kit Siang ketika dalam
PR atau dengan Mahiaddin dalam PN, tidak sepatutnya memeranjatkan kita kalau kita
faham psikologi dan strategi kepemimpinan Pas.
Pas keluar PR pada tahun 2015 kerana tidak tahan dengan diayah
Umno yang menuduhnya bekerjasama dengan “kafir”. Pas bertanding PRU 2018 secara
bersendirian. Selera dan nafsu Pas kuat tapi tenaga lain cerita. Ia bertanding
157 kerusi Parlimen tapi menang 18 saja. Amanah bertanding 34 menang 11. Bila
PH tubuh kerajaan dan orang Amanah jadi Menteri dan Timbalan Menteri, Pas
menerima kemaluan yang sangat besar.
Tiga faktor yang mendorong Pas bersekongkol dengan Mahiaddin dan
konco-konconya merampas kuasa melalui “Sheraton Move” adalah hendak jadi
Menteri dan Timbalan Menteri macam Amanah, bencikan DAP dan tidak mahu Anwar
Ibrahim naik jadi Perdana Menteri.
Tidak seperti pemimpin Amanah yang lebih sejagat dan sophisticated,
ramai pemimpin Pas tidak dapat menyesuaikan diri dengan pangkat dan kuasa.
Mereka juga tidak nampak cemerlang dalam tugas-tugas pentadbiran. Sebaliknya
sesetengah daripada mereka menjadi terkenal kerana hal-hal peribadi dan tingkah
laku luar biasa.