Hutan kayu bakau Kuala Bagan dinodai lagi – Mujahid

 


Hutan kayu bakau Kuala Bagan dinodai lagi – Mujahid

Kenyataan Akhbar

1. Saya ke Kuala Bagan Tiang petang tadi bertemu penduduk setelah mendapat aduan hutan kayu bakau seluas 47 ekar telah diluluskan oleh Pembangunan Pertanian Negeri Perak (SADC) kepada Syarikat Makmur Cemerlang Sdn Bhd . Sebelumnya saya bersama penduduk sekitar telah membuat bantahan kawasan hutan kayu bakau seluas 200ekar di Sungai Betul bersebelahan untuk dibangunkan.

2. Kawasan yang diluluskan tersebut pernah diminta oleh penduduk tempatan untuk projek perumahan bagi generasi nelayan disitu untuk kekal meneruskan kehidupan nelayan mereka. Mereka juga mencari sumber rezeki di hutan kayu bakau sekitar. Apabila projek kolam udang diluluskan, ia akan menjejaskan pendapatan mereka yang sudahpun tertekan dengan kesan covid 19. Kepentingan penduduk tempatan harus didahulukan untuk mengekalkan kehidupan tradisi generasi nelayan di sana.

3. Lebih utama aduan rakyat adalah keselamatan kampung berdekatan yang akan terdedah kepada bahaya ribut dan tsunami apabila hutan kayu bakau dibangunkan untuk projek akuakultur. Projek sedia ada di sekitar Sungai Kota telahpun dibantah oleh penduduk kampung sebelum ini tetapi tidak diendahkan oleh kerajaan negeri. Tanpa hutan kayu bakau orang kampung juga terdedah kepada air pasang yang melimpahi kawasan perumahan berdekatan. Sejak 2018 , saya telah melancarkan program tanam semula kayu bakau di kawasan Kuala Bagan Tiang bersama penduduk dan NGO Alam Sekitar untuk menyedarkan kepada masyarakat tanggungjawab memelihara hutan kayu bakau.

4. Sebagai Ahli Parlimen Parit Buntar , saya bersama penduduk Kuala Bagan Tiang menentang keras projek yang menjejaskan alam sekitar dengan terhakisnya hutan kayu bakau yang sudahpun terancam. Pengusaha projek juga telah menceroboh had yang ditetapkan tanpa penguatkuasaan yang berkesan. Saya menggesa Menteri Besar campur tangan bersesuaian dengan Dasar Perak Lestari dan mendahulukan suara rakyat khususnya para nelayan supaya kehidupan generasi mereka dapat dilangsungkan.

Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa
Ahli Parlimen Parit Buntar