oleh Ghafar NS
Mengapa penjaja pasar pagi atau penjaja kecil diarah menutup operasi pasar pagi terbuka dalam tempoh perintah kawalan pergerakan (PKP) penuh daripada 1 – 14 Jun 2021, tetapi pasar dalam bangunan, bazaria serta pusat penjaja dibenarkan beroperasi daripada 8 pagi – 8 malam?
Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok dalam satu kenyataan hari ini mendesak Menteri Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Tan Sri Annuar Musa untuk menyatakan sebab layanan dua darjat Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) terhadap penjaja dan peniaga kecil ini.
“Mengapa operasi pusat penjaja dan bazaria dibenarkan oleh DBKL? Bukankah operasi pusat penjaja dan bazaria agak sama dengan pasar pagi terbuka dan juga pasar malam?
“Malah, pengudaraan pasar pagi terbuka dan pasar malam lebih baik berbanding pasar dalam bangunan kerana pengudaraannya yang tertutup memudahkan jangkitan virus Covid-19.” Tambahnya lagi.
Menurut Teresa juga, beliau faham Kerajaan Persekutuan berusaha untuk mengurangkan peluang orang ramai berhimpun bagi mengelak jangkitan Covid-19, namun arahan yang dikeluarkan perlulah rasional serta tidak dilihat seperti Kerajaan Persekutuan memberi layanan dua darjat.
“Saya menyeru Menteri Wilayah Persekutuan menyemak semula arahan PKP bagi semua jenis perniagaan kecil khususnya pasar pagi terbuka,” katanya.