Amerul Affendi 'tunggu' Jakim keluar hadis tentang Tasik Chini ( menteri alam sekitar elok terasa bila kena surah macam gini-atau makan gaji buta?)







Diterbitkan 9Jun 2021, 

Terkesan dengan kegiatan perlombongan berhampiran Tasik Chini, pelakon kelahiran Temerloh, Amerul Affendi, memang berasa sedih dengan apa yang berlaku.

Dan tidak sekadar itu. Pelakon berbakat itu berasa dia "tidak layak" untuk memberikan teguran atas apa yang berlaku.

Namun pelakon utama telefilem Pang Pokok Ketapang itu berharap ada tindakan yang wajar diambil oleh pihak berkuasa agama khususnya Jabatan Kemajuan Agama Islam Malaysia (Jakim).

Dalam satu ciapan di Twitter, Amerul berkata, adalah tidak menarik melihat pemandangan kawasan di sekitar tasik kedua terbesar di Malaysia itu 'tidak diterangi' secara keseluruhan.

"Tak syoklah tengok ada kawasan yang tak terang habis macam ni. Boleh tak kasi terang sejauh lensa kamera memandang," katanya secara sinis.

"Ya ini keadaan Tasik Chini sekarang. Tak apalah kita ini tak layak nak menegur. Nak tegur baik-baik beradab pun tak guna juga.

"Harap Jakim keluar hadis je lah," katanya yang juga pelakon filem Mencari Rahmat.

Terima kasih buat 'penjaga amanah'

Terdahulu Malaysiakini melaporkan Pahang meluluskan kerja melombong di sekitar Tasik Chini di Pekan kepada sebuah syarikat berkaitan keluarga diraja di sebalik rancangan kerajaan negeri yang didakwa mahu memulihkannya.

Tapak perlombongan baru itu terletak hanya kira-kira tiga kilometer dari Tasik Chini. Ia merupakan kawasan tapak rizab biosfera Unesco yang beberapa tahun kebelakangan bergelut dengan masalah pencemaran akibat perlombongan dan pembalakan. 

Sebagai rekod Jakim pada 3 Jun lalu membuat hantaran yang menarik perhatian ramai apabila memuat naik sebuah hadis mengenai kewajipan mentaati pemerintah dan larangan menghina sultan yang dianggap sebagai "bayangan Allah di bumi".

Bagaimanapun beberapa agamawan dan pakar hadis menjelaskan ia berstatus daif.

Dalam rajutan (thread) sama Amerul juga mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang diamanahkan untuk menjaga negara ini.

"Tak mahu bersuara dan menegah pemimpin kalian tak mengapa.... Ambillah gaji kalian tiap-tiap bulan tu dan bagilah makan elok-elok kat anak-anak.

"Semoga anak cucu kalian baik-baik sahaja makan dari hasil gaji kalian," ciapnya.