Terkini: Umno Sabah bergolak, lantikan Bung dianggap bunuh diri

Terkini: Umno Sabah bergolak, lantikan Bung dianggap bunuh diri

Terkini: Umno Sabah bergolak, lantikan Bung dianggap bunuh diri

Keputusan meletakkan Datuk Seri Bung Moktar Radin mengetuai jentera bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, adalah langkah ‘bunuh diri’, tegas Ahli Majlis Tertinggi UMNO Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan.

Dalam satu sidang media tergempar malam ini, beliau menggesa Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi untuk mengkaji semula keputusan pelantikan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sabah itu.
Dakwanya, Bung Moktar yang juga Ahli Parlimen Kinabatangan sedang dibelenggu dengan perbicaraan kes mahkamah, justeru akan menyebabkan UMNO Sabah pada kedudukan yang tidak stabil untuk memenangi hati rakyat.

“Kami berpandangan, seseorang yang menjadi ketua jentera pilihan raya mestilah bebas daripada persepsi negatif, yang boleh dimanipulasi pihak lawan, mempunyai kredibiliti tidak boleh dipersoalkan rakyat dan tidak dibebankan dengan masalah peribadi, yang boleh menjejaskan sokongan pengundi kepada UMNO dan rakan-rakan.

“Kami yakin pendirian kami disokong ramai kepimpinan UMNO Sabah, serta rakyat Sabah sendiri,” dakwanya.

Dalam satu sidang media di Parlimen awal hari ini, Ahmad Zahid telah mengumumkan Bung Moktar akan mengetuai jentera pilihan raya Barisan Nasional (BN), serta diberi kuasa penuh untuk menentukan agihan kerusi dan calon Ketua Menteri seterusnya.

Beliau berkata, ia adalah selaras dengan kuasa autonomi UMNO Sabah, yang diwartakan pada Perhimpunan Agung UMNO tahun lepas.

Mengulas lanjut, Abdul Rahman, yang juga bekas Ahli Parlimen Kota Belud secara tegas mendakwa, keputusan meletakkan Bung Moktar sebagai ketua, bukan sahaja satu penghinaan kepada UMNO Sabah, malah kepada rakyat Sabah secara amnya.

Ujarnya lagi, keputusan itu seolah-olah memalapkan peluang UMNO untuk kembali merebut pentadbiran negeri daripada Parti Warisan Sabah (Warisan) yang diterajui oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

“UMNO dan rakan-rakan kami di Sabah, parti-parti komponen lain, mempunyai peluang besar untuk menang, memandangkan, Warisan kini cukup lemah, pentadbiran yang gagal, kepimpinan lemah dan sebagainya. We have all the reasons to win this.

“Jadi yang kita bagi peluru kepada pihak lawan kenapa? Jangan kita tembak kaki kita sendiri, dan memberi peluang kepada pihak lawan untuk manipulasi kelemahan kita,” katanya lagi.

Menurutnya lagi, beliau bersama 12 Ketua UMNO Bahagian yang hadir pada sidang media malam ini, telah datang ke Kuala Lumpur untuk bertemu dengan Ahmad Zahid, malangnya permintaan itu tidak dilayan.
Ia sekali gus memaksa mereka melakukan sidang media tergempar itu.
Sumber: Astro Awani

No comments: