Rakyat marhaen dihukum, tapi menteri langgar kuarantin boleh terlepas?




Kerajaan Perikatan Nasional (PN) sekali lagi dilihat bersikap berat sebelah apabila Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Khairuddin Aman Razali melanggar tempoh kuarantin selama 14 hari yang ditetapkan sebaik sahaja pulang dari Turki untuk menyertai sidang Parlimen.

Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil berkata situasi ketika ini seolah-olah wujud dua undang-undang yang berbeza untuk rakyat dan menteri.

"Ada seorang makcik memakai gelang merah jambu didenda RM8,000 dan dihantar ke penjara sebab langgar kuarantin tapi ada seorang menteri pergi luar negara pada 3 hingga 7 julai kemudian datang ke Parlimen pada 13 Julai tidak kena tindakan. Mohon menteri beri penjelasan, adakah benar beliau pergi, kalau benar kenapa tak pakai gelang merah jambu?

"Kita tak nak wujud dua undang-undang untuk menteri dan rakyat marhaen iaitu satu untuk pemerintah dan satu lagi untuk diperintah.

"Ada anak muda berdiri di satu stesen komuter yang lengang disaman RM1,000 tapi seorang menteri hadir dalam satu program penuh orang tak pakai pelitup separuh muka tak dikenakan apa-apa tindakan, ini adalah hipokrasi.

"Ia bagai ada dua darjat, ia keadaan yang sangat memilukan dan perkara ini perlu diperbetulkan," katanya ketika perbahasan di Dewan Rakyat.


Ahli Parlimen Kuala Langat, Xavier Jayakumar turut mempersoalkan tindakan Khairuddin.

"Menteri pergi luar negara, takkan boleh main masuk Parlimen. Patut kena kuarantin 14 hari sebelum datang ke Parlimen.

"Isu ini perlu diambil berat kerana ia tanggungjawab semua ahli parlimen, lagi-lagi jika dia seorang menteri. Apa dia buat itu satu kesalahan besar dan perkara ini perlu disiasat," katanya.

Pada masa sama, Fahmi menganggap kerajaan PN gagal bersikap adil kepada rakyat, sebaliknya terus-terusan terlepas daripada sebarang hukuman.

"Dekat Parlimen ini pun ada menteri yang hisap vape. Kalau benar ada menteri yang sepatutnya kuarantin tapi hadir ke Parlimen, ini bukan norma biasa, bukan norma baharu.

"Ada dua tiga menteri yang dikerumuni orang ramai tidak memakai pelitup muka tetapi tidak kena apa-apa tindakan.

"Jangan mereka dibawah ditekan, tetapi mereka yang berada diatas itu kekal di awangan, terus-terusan makan udang galah," katanya.